Jadon Sancho pastinya akan membuat perbezaan untuk Manchester United dalam perlawanan separuh akhir Liga Europa menentang Sevilla, menurut Paul Scholes.

Pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu mensia-siakan banyak peluang menarik dalam kekalahan 1-2 kepada Sevilla di Cologne, awal pagi tadi.

United hangat dikaitkan dengan perpindahan bintang Borussia Dortmund itu yang mempunyai koleksi 20 gol pada musim 2019-20.

Bekas bintang United itu percaya bahawa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut perlu mengeluarkan berbelanja untuk mendapatkan seorang penyerang sambil mengatakan bahawa Sancho pastinya akan memainkan watak penting dalam pertemuan di Jerman berkenaan.

"Saya tidak fikir mereka beraksi buruk, saya fikir mereka bermain dengan sangat baik ketika berdepan Sevilla yang sangat ampuh tetapi 15, 20 minit selepas rehat, dengan peluang-peluang terhidang yang ada, mereka seharusnya menambah gol lagi," katanya kepada BT Sport.

"Kami bercakap mengenai kualiti, kami bercakap tentang membelanjakan wang untuk penyerang tengah dan sayap. Pada hari ini anda bercakap tentang nilai ratusan juta untuk mendapatkan pemain seperti ini dan inilah watak yang mampu menjulang kejuaraan, inilah tonggak yang boleh membantu anda memenangi gelaran.



"Kami tahu urusan Sancho dalam perbincangan tetapi United perlu mula berbelanja. Sekiranya mereka mahu memenangi piala, mereka harus mula mengeluarkan dana.

"Dengan deretan peluang yang dicipta dan jika Sancho berada dalam pasukan malam ini, saya rasa United akan mencetak gol."