Schmeichel kecewa dengan keputusan pengadil

Oleh Staff Writer 13 April 2017 8236
Schmeichel kecewa dengan keputusan pengadil
Penjaga gol Leicester City, Kasper Schmeichel, bergelut menyembunyikan kekecewaannya selepas sepakan penalti kontroversi Antoine Griezmann memberikan Atletico Madrid kemenangan 1-0 dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Schmeichel menyelamatkan sepakan penalti dalam aksi pertama dan kedua pusingan 16 berdepan Sevilla sebelum ini, namun bintang Perancis, Griezmann, mudah menyempurnakan sepakan penaltinya pada minit ke-28.

Bagaimanapun, keputusan menghadiahkan sepakan penalti itu mencetuskan kemarahan Schmeichel, apabila ulang tayang menunjukkan kekasaran yang dilakukan Marc Albrighton terhadap Griezmann berlaku di luar kotak penalti.

"Senario itu merosakkan rancangan awal kami," Schmeichel memberitahu BT Sport.

"Keputusan itu sukar diterima kerana buktinya cukup jelas dan nyata. Kami sepatutnya mendapat keputusan yang lebih baik tetapi kami perlu menerima apa yang berlaku.

"Ia bukan penalti. Mereka mungkin menjaringkan gol daripada sepakan percuma tetapi bukan penalti."

Leicester gagal mencatat sebarang percubaan tepat ke gawang Jan Oblak sepanjang 90 minit perlawanan dengan pengendali, Craig Shakespeare, membawa masuk Andy King bagi mengekang pergerakan Griezmann dalam babak kedua.

Wilfred Ndidi menggalas tugas selaku pertahanan di bahagian tengah padang dan King mengakui berpuas hati dengan aksi rakan sepasukannya.

"Bertandang ke sini dan masih lagi berpeluang memberi saingan merupakan objektif utama kami," katanya.

"Kami berpeluang untuk melakukan sesuatu di laman sendiri nanti.

"Kami sedar Griezmann cukup membahayakan tetapi selepas meletakkan seorang pemain tambahan di bahagian tengah, kami mampu mengawalnya.

"Leicester mampu bangkit di laman sendiri, kami yakin mampu mencetuskan masalah buat Atletico."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen