Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, menegaskan bintang serta kapten pasukan, Lionel Messi, gembira menjelang aksi kelayakan Piala Dunia berdepan Ecuador.

Argentina akan memulakan kempen kelayakan Piala Dunia esok ia ditunda sebelum ini ekoran pandemik coronavirus.

Pemenang Ballon d'Or enam kali Messi tersenarai dalam skuad Argentina walaupun terpalit dengan beberapa situasi sukar bersama kelab, antaranya mahu berhijrah meninggalkan Nou Camp sebelum ini.

Ditanya mengenai Messi menjelang aksi kelayakan di Buenos Aires, Scaloni berkata, "Saya telah bercakap dengan Leo mengenai konfliknya bersama Barcelona sudah berakhir dan saya melihat dia kini lebih tenang.

"Kami telah berbual panjang dan dia memberitahu saya bahawa dia gembira berada di sini dan keadaanya bersama kelab juga bertambah baik.

"Dari kejauhan, kami hanya ingin dia menyelesaikan situasi sehingga dia dapat mulai bermain di tahap terbaik. Bagi saya adalah positif bahawa dia kekal bersama Barca kerana dia sudah mula bermain dan mengetahui persekitarannya.

"Bagi keputusan peribadi, kami tidak mahu masuk atau mengganggu hal peribadi pemain tersebut."

Scaloni, bersama skuad Argentina yang tidak bermain sejak November, berkata lagi: "Leo akan sentiasa menjadi penyerang utama walaupun dengan kehadiran beberapa pemain lain serta formasi yang bakal diterapkan untuk perlawanan esok.

"Saya tidak berasakan Leo telah banyak berubah dalam corak permainannya, pada akhinya, dia tetap menjadi seorang pemain penyerang dan sentiasa akan kekal dalam posisi itu."