Pengendali Argentina, Lionel Scaloni, akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Lionel Messi untuk memastikan kapten skuad kebangsaan itu kembali ke kancah antarabangsa.

Messi tidak mewakili negaranya sejak saingan Piala Dunia, Julai lalu, di mana skuad yang dibimbing Jorge Sampaoli ketika itu disingkirkan oleh Perancis.

Penyerang itu memimpin Argentina melepasi peringkat kumpulan dengan jaringan hebat ketika berdepan Nigeria tetapi kempen yang tidak begitu cemerlang itu berakhir dalam pusingan 16 di Russia.

Messi tidak memberikan penjelasan mengenai tempoh untuk dia kembali menyarung jersi Argentina atau mungkin Piala Dunia menjadi aksi terakhir tatkala naib juara edisi 2014 itu sedang melakukan persiapan untuk menghadapi saingan Copa America tahun depan.

Bagaimanapun, Scaloni yang dilantik menggantikan Sampaoli buat sementara sebelum disahkan secara tetap kini merancang untuk berbincang lebih lanjut dengan bintang sensasi itu apabila mereka bertemu ketika final kedua Copa Libertadores di Madrid bulan ini.

"Saya tidak selalu bercakap dengan Messi tetapi kami tetap memiliki hubungan baik," kata Scaloni.

"Kami akan cuba memujuknya untuk bersama kami bagi 2019 dan kami yakin ia akan menjadi sesuatu yang positif.

"Bagi kami, ia sesuatu yang sangat penting. Semua jurulatih mahu mengendalikan pemain sepertinya dan saya lebih daripada mereka."

Bulan lalu, rakan senegara Messi, Mauro Icardi, berkata dia berharap bintang Barcelona itu dapat dipujuk untuk kembali bersama skuad kebangsaan.

"Messi adalah pemain terbaik dunia dan kami berharap dia kembali bersama kami, terutama apabila Copa America bermula," ujar Icardi selepas aksi persahabatan menentang Mexico.