BRAZIL 1 ARGENTINA 0

Jurulatih sementara, Lionel Scaloni, kagum dengan persembahan Argentina ketika berdepan Brazil walaupun tewas 1-0 pada penghujung permainan.


Miranda menjaringkan gol kemenangan Brazil ke atas Argentina pada minit ke-93 perlawanan 'Superclasico de las Americas' itu di Arab Saudi -- kali pertama skuad La Albiceleste itu yang beraksi tanpa Lionel Messi bolos di bawah kendalian Scaloni.

Giovani Lo Celso dan Paulo Dybala hampir menjaringkan gol buat Argentina tetapi pengendali pasukan, Scaloni, yang memilih barisan muda ketandusan pengalaman, menegaskan dia berpuas hati dengan persembahan keseluruhan barisan pemainnya.

"Dengan melakukan apa yang kami persembahkan dalam perlawanan ini, kami akan berupaya untuk menakluki dunia satu hari nanti," katanya.

"Keputusan adalah perkara kedua tetapi ia tidak bermakna kami tidak kecewa dengan kekalahan ini.

"Saya teruja menyaksikan perlawanan ini, mereka telah berusaha dengan baik sekali.

"Argentina berdepan barisan pemain yang jauh lebih berpengalaman," katanya.

Pertahanan Brazil, Filipe Luis, berasakan skuad bimbingan Tite itu berhak melakar kemenangan dalam perlawanan berkenaan.

"Pasukan kepenatan dalam babak kedua tetapi saya berasakan kami telah mendominasi perlawanan ini," katanya.

"Sememangnya, kami merupakan pasukan lebih baik berbanding Argentina. Kami mengekalkan skuad yang beraksi sejak tahun lalu."