Masa depan Lionel Messi bersama skuad Argentina masih belum pasti selepas pemangku ketua jurulatih La Albiceleste, Lionel Scaloni, menjelaskan dia belum berbincang dengan bintang Barcelona itu mengenai tempoh untuk kembali bersama pasukan.

Messi, yang mengetuai Argentina dalam Piala Dunia, Jun lalu, masih belum memberi kenyataan mengenai tempoh untuk dia kembali beraksi di peringkat kebangsaan selepas tidak menyertai pasukan ketika saingan persahabatan, bulan ini.

Pemain berusia 31 tahun itu tampil mengecewakan dalam saingan Russia 2018 dan dia tidak disenaraikan oleh Scaloni untuk menghadapi aksi persahabatan berdepan Iraq dan Brazil selepas ini.

Scaloni yang memegang sementara jawatan pengurus pasukan menggantikan Jorge Sampaoli jelas tidak pasti tempoh yang membolehkannya kembali menyenaraikan Messi.

"Saya bercakap dengan Messi 10 hari lalu dan selepas itu, dia membuat keputusan untuk tidak menyertai pasukan," ujar Scaloni.

"Kami tidak boleh berbincang mengenai apa yang akan berlaku tetapi hanya bercakap mengenai permainan pasukan kerana Messi melihat semua perkara.

"Namun, ia tidak lebih daripada itu kerana apa yang saya fikirkan, kami tidak bercadang melebihi enam perlawanan," tambahnya.

Sementara itu, legenda Argentina, Diego Maradona, menggesa Messi agar bersara daripada peringkat antarabangsa selepas mendakwa tonggak utama Barca itu menerima terlalui banyak kritikan akibat prestasi buruk La Albiceleste.

"Skuad B-15 kalah dan ia kesilapan Messi," kata Maradona.

"Jadual perlawanan di Argentina melibatkan Racing Club menentang Boca Juniors tetapi Messi yang harus dipersalahkan. Sentiasa menjadi salah Messi.

"Saya mahu berkata, 'Usah sertai pasukan lagi'. Saya mahu melihat bagaimana mereka menanganinya."

Juan Foyth dan Rodrigo De Paul telah dipanggil untuk menyertai skuad Argentina buat kali pertama untuk aksi berdepan Iraq dan Brazil.