Pemain sayap Sepanyol, Vitolo, mengakui terkejut dengan kesilapan yang dilakukan penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon, apabila pertemuan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018.

Penjaga gol veteran itu keluar dari kotak penalti untuk cuba menghalang lontaran lambung Sergio Busquets, namun percubaannya gagal dan bola tersebut menuju tepat ke arah Vitolo yang dengan mudah menjaringkan gol.

Itali, bagaimanapun, sempat meledak gol penyamaan apabila Daniele De Rossi menyempurnakan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan Sergio Ramos ke atas Eder.

Keputusan itu mememberikan kedua-dua pasukan empat mata selepas dua perlawanan dalam saingan Kumpulan G.

Vitolo turut meluahkan rasa kecewa dengan bagaimana pasukannya terpaksa berpuas hati dengan keputusan itu meskipun menguasai perlawanan.

"Kami sedang selesa mengawal perlawanan, kami bermain dengan baik," dia memberitahu TVE. "Mereka menyamakani kedudukan menerusi keputusan kontroversi oleh pengadil.

"Buffon seorang penjaga gol bertaraf dunia, dia memiliki kerjaya yang cukup gemilang. Saya tidak menyangka dia akan melakukan kesilapan itu!

"Satu mata ini penting, apatah lagi kami beraksi di Itali, tetapi kami mengharapkan kemenangan."

Sementara itu, pemain tengah Sepanyol, Koke, berasakan mereka perlu menerima keputusan itu apabila Itali mempamerkan kebangkitan selepas jaringan Vitolo pada minit ke-55.

"Ketika kami berada di depan, mereka mula bangkit dan mengasak kubu kami," kata pemain Atletico Madrid itu. "Kami perlu berpuas hati dengan satu mata ini."

Koke turut enggan mengkritik keputusan pengadil.

"Kami perlu menghormati keputusan pengadil."

Sepanyol bakal berdepan pendahulu kumpulan, Albania, pada Ahad manakala Itali akan bertandang ke Macedonia.