Pengendali Inter, Frank de Boer, berkata dia tidak pasti sama ada akan mengendalikan kelab itu dalam pertemuan Serie A berdepan Torino pada Rabu.

Timbul laporan di Itali yang mendakwa bekas pengurus Ajax itu bakal dipecat selepas tewas 2-1 kepada Atalanta pada Ahad.

Kekalahan tersebut merupakan yang ketiga berturut-turut dalam Serie A, sekaligus mereka kini menghuni tangga ke-14 dengan hanya 11 mata daripada sembilan perlawanan.

"Saya tidak tahu sama ada saya akan berada di sini pada Rabu," De Boer memberitahu media selepas kekalahan tersebut.

"Saat yang sukar buat semua pihak -- terutamanya saya -- tetapi apa yang saya boleh lakukan adalah bekerja dengan lebih keras.

"Tewas tiga perlawanan berturut-turut nyata sukar diterima tetapi saya yakin banyak yang kami boleh perbaiki."

Sepakan penalti pada minit ke-88 yang disempurnakan Mauricio Pinilla mengesahkan kekalahan Inter kepada Atalanta.

Sejak De Boer dibawa masuk menggantikan Roberto Mancini pada Ogos, Inter tewas dua daripada tiga perlawanan dalam Liga Europa, namun pengendali kelahiran Belanda itu berharap masih mendapat sokongan daripada pengurusan pasukan.

"Presiden, Erick Thohir, dan pemilik kelab Suning tidak berada di Itali ketika ini tetapi saya yakin mereka menyokong kuat pasukan ini," tambahnya.

"Saya yakin pasukan ini masih yakin dengan kemampuan saya untuk kembali menghadirkan keputusan positif."