Kapten England, Wayne Rooney, berkata dia tidak berhasrat untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas tidak berada dalam kesebelasan utama pasukan bertemu Slovenia.

Rooney tidak akan memulakan aksi kelayakan Piala Dunia 2018 berdepan Slovenia selepas pengurus sementara, Gareth Southgate, mengetepikan penjaring terbanyak England itu.

Keputusan ini diambil selepas menyaksikan England menang 2-0 ke atas Malta, namun pemain Manchester United itu telah dicemuh di Wembley kerana beraksi di bahagian tengah.

Walapun kedudukannya di dalam kesebelasan utama kelab dan negaranya semakin meruncing, Rooney yakin dia masih mampu memberikan sumbangan di peringkat tertinggi dengan mengambil bekas pemain Wales, Ryan Giggs, sebagai inspirasi.

"Ini merupakan perkara yang harus saya lalui dan saya sudah cukup matang untuk menghadapinya," kata Rooney.

"Saya yakin saya mampu kembali bangkit ke tahap yang terbaik. Saya baru sahaja berusia 30 tahun. Saya akan terus bekerja keras dan tidak akan bersara daripada menyarung jersi England.

"Kita dapat melihat perubahan rentak permainan Ryan Giggs pada usia 30 tahun yang berbeza jika dibandingkan ketika dia berusia 18 tahun dan Giggs terus bermain di tahap yang tertinggi sehingga umurnya mencecah 40 tahun. Saya mampu mengikut jejak langkahnya.

"Saya tidak menafikan bahawa sukar buat saya menerima keputusan ini tetapi saya perlu mempamerkan sikap yang positif dan terus memberikan sokongan kepada rakan sepasukan saya."