Saya seperti Benjamin Button, kata Ibrahimovic selepas tewaskan Bologna

Oleh Muzaffar Musa 22 September 2020 293
Saya seperti Benjamin Button, kata Ibrahimovic selepas tewaskan Bologna
Zlatan Ibrahimovic bergurau sambil menggambarkan dirinya seperti Benjamin Button selepas memulakan musim baru Serie A dengan menjaringkan dua gol ketika AC Milan menewaskan Bologna 2-0 awal pagi tadi.

Ibrahimovic menjaringkan dua gol hasil tandukan dan sepakan penalti gemilangnya bagi memastikan permulaan baik buat Milan, sekali gus menyaksikan dia kini telah menjaringkan tiga gol daripada dua perlawanan dalam kesemua kejohanan musim ini.

Pemain berusia 38 tahun itu hampir menjaringkan hatrik dari sudut sukar dengan kaki kirinya tetapi gol berganda yang dihasilkannya itu menyaksikan dia kini merekodkan 16 gol dalam perlawanan hari pembukaan lima liga utama Eropah.

Seperti Ibrahimovic yang dikenali ramai, bekas bintang Paris Saint-Germain dan Manchester United itu mendabik dada dengan mengatakan bahawa dia boleh menjaringkan lebih banyak gol jika masih muda sambil membandingkan dirinya dengan Benjamin Button, satu watak fiksyen ciptaan F. Scott Fitzgerald yang umurnya berbalik ke belakang.

"Saya berada dalam keadaan yang baik, saya berusaha dan ini adalah perlawanan kompetitif kedua saya musim ini," katanya kepada Sky Italia.

"Kami menang dan saya boleh menjaringkan lebih banyak gol.

"Jika saya berusia 20 tahun, saya akan menjaringkan dua gol lagi.

"Saya bukannya tua, saya seperti Benjamin Button, saya bermula tua dan mati muda!
 
"Ketepikan gurauan itu, pasukan ini beraksi baik, kami tidak berada dalam 100 peratus dan melakukan beberapa kesilapan yang biasanya dielakkan tetapi ia berhasil.

"Saya gemar memegang tanggungjawab. Tekanan terbesar adalah sesuatu yang saya mahukan.

"Saya tidak mahu mereka berkata mengenai umur saya, saya mahu dilayan sama seperti orang lain.

"Tidak menjadi masalah jika saya sudah berusia 38 tahun, saya mahu dilayan sama seperti mereka yang berusia 20 tahun dan melakukan perkara sama," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen