Cristiano Ronaldo menamatkan 2019 dengan meraih anugerah Pemain Lelaki Terbaik dalam Anugerah Bolasepak Globe Dubai, semalam.

Ronaldo, yang menduduki tempat ketiga anugerah Ballon d'Or di belakang Virgil van Dijk dan Lionel Messi, kini mengungguli anugerah itu enam kali dalam tempoh sembilan tahun.

Pemain berusia 34 tahun itu turut meraih anugerah itu buat kali keempat berturut-turut selepas membantu Juventus bergelar juara Serie A dalam musim sulungnya di pentas Serie A sambil turut memainkan peranan utama buat Portugal mengungguli Liga Negara-Negara UEFA.

"Saya harus ucapkan terima kasih kepada keluarga, teman wanita, anak yang berada di sini, Cristiano, serta tiga lagi anak yang berada di hotel. Begitu juga dengan kawan-kawan dan rakan sepasukan di Juve serta skuad kebangsaan, ejen saya serta semua yang berada di sini dan menyokong anugerah ini," katanya.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Arab yang begitu baik dengan saya. Saya perlu berterima kasih kepada Dubai, ia tempat yang hebat. Setiap tahun saya ke sini dan mencintai tempat ini.

"Akhir sekali, terima kasih kepada semua yang mengundi saya. Satu penghormatan untuk berada di sini dan menerima anugerah hebat ini. Saya harap dapat berada di sini lagi tahun depan dan menerima anugerah ini. Terima kasih kepada semua dan Selamat Tahun Baru."

Ronaldo bukan satu-satunya nama besar yang berada dalam acara itu selepas turut disertai pemain muda Atletico Madrid, Joao Felix, selepas dinamakan sebagai 'pemain pendedahan terbaik' sambil Miralem Pjanic diberikan anugerah 'pemain karier'.

Pemain England, Lucy Bronze, dinamakan pemain terbaik wanita sambil pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, meraih anugerah pengurus terbaik.


Editor: Nafis Abdullah