Saya sayangkan Lucas -- Simeone

Oleh Staff Writer 23 Disember 2018 383
Saya sayangkan Lucas -- Simeone
Pengendali Atletcio Madrid, Diego Simeone, berjanji untuk menyokong segala keputusan yang akan diambil Lucas Hernandez selepas pemain itu dilaporkan berminat untuk berhijrah ke Bayern Munich.

Ura-ura menyatakan juara Bundesliga itu sedang berusaha menyediakan dana €80 juta (RM380 juta) bagi mendatangkan pemain itu ke Jerman.

Pertahanan serba boleh itu merupakan tonggak kejayaan Perancis dalam Piala Dunia, Julai lalu, dan semakin berkembang sebagai pemain utama Atletico sepanjang musim ini.

Simeone menegaskan dia tidak akan memberikan sebarang tekanan buat pemain berusia 22 tahun itu dan akan menerima segala keputusan yang akan diambil Lucas.

"Apabila saya bercakap mengenai kesabaran, ia bersifat umum dan tiada kena mengena dengan Lucas.

"Kami mahukan Lucas. Kami dapat melihat perkembangan yang dilaluinya.

"Dia akan memilih jalan yang terbaik buat dirinya.

"Saya akan sentiasa menyokongnya kerana saya menghormati dan menyayanginya.

"Setiap keputusan perlu bersifat peribadi.

"Saya menghormati perkara itu.

"Lucas masih muda dan memiliki masa depan yang cerah.

"Saya berharap dia akan kekal bersama kami kerana kami memerlukan dan menyayanginya," katanya.

Pemain tengah, Rodrigo, turut meluahkan sentimen yang sama dengan ketua jurulatihnya itu.

"Kami akan menyokong dan menghormati keputusan yang dipilihnya.

"Namun, kami mahu dia kekal bersama pasukan," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen