Penyerang Real Madrid, Karim Benzema, menyedari bahawa dia perlu menjaringkan lebih banyak gol selepas membantu pasukannya mengatasi Viktoria Plzen, semalam.

Benzema membuka jaringan buat Real ketika merakamkan kemenangan 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) itu, mengurangkan tekanan buat pengendali pasukan, Julen Lopetegui.

Pemain kelahiran Perancis itu telah meledak gol keenam dalam 13 perlawanan musim ini tetapi jentera serangan Real sering dikritik.

Benzema menyedari dia perlu mencipta lebih banyak jaringan selepas hanya menjaringkan 31 gol dalam tempoh dua musim yang lalu.

"Penat? Tidak. Saya mengetahui bahawa saya perlu menjaringkan lebih banyak gol," katanya.

"Saya meletakkan sasaran itu dan ia memberikan motivasi kepada saya."

Marcelo turut mencetak nama selaku penjaring buat Real, yang meraih enam mata untuk mengungguli Kumpulan G.

Benzema turut mempertahankan Lopetegui, yang membantu pasukan menamatkan lima aksi tanpa kemenangan menjelang aksi El Clasico, Ahad ini.

"Kami meletakkan keyakinan kepada jurulatih ini dan pasukan akan terus memberikan sokongan kepadanya."