Saya peneraju untuk PSG, kata Mbappe 

Oleh Penulis Jemputan 29 Oktober 2018 487
 Saya peneraju untuk PSG, kata Mbappe 
MARSEILLE 0 PSG 2

Kylian Mbappe menggambarkan dirinya sebagai peneraju selepas membantu Paris Saint-Germain (PSG) meraih kemenangan di Marseille meskipun memulakan perlawanan dari bangku simpanan.


Pemain berusia 19 tahun itu memecah kebuntuan selepas tiga minit separuh masa kedua berlangsung di Stade Velodrome sebelum memainkan peranan dalam pembikinan gol Julian Draxler pada masa kecederaan.

Adalah mengejutkan apabila Mbappe diletakkan di bangku simpanan dengan pengurus, Thomas Tuchel, kemudian mengesahkan ia adalah satu bentuk hukuman berikutan masalah disiplin selepas penyerang itu dan Adrien Rabiot didakwa terlambat untuk menghadiri satu perbincangan pra-perlawanan.

Setelah mendapat peringatan tegas berkenaan, bintang Perancis itu mengaku dia berasa bagaikan tokoh penting dalam skuad PSG sambil bertekad "untuk melakar sejarah".

"Pasukan memerlukan kemenangan ini," katanya kepada Canal. "Pasukan hebat bergantung kepada pemimpinnya dan mereka perlu membuat perubahan pada saat-saat penting. Saya fikir saya boleh memainkan peranan itu dan saya melaksanakannya.

"Kami perlu terus berada di landasan yang betul. Marseille menunjukkan bahawa mereka mempunyai pasukan yang boleh bermain baik. Mereka mempunyai beberapa peluang yang mencetuskan masalah buat kami, jadi pujian harus diberikan kepada mereka.

"Tetapi, kami mampu menjadikan situasi lebih berkesan dan kami pulang dengan kemenangan. Kami adalah pejuang, kami mahu melakar sejarah, kami tidak boleh mengabaikan sebarang perlawanan."

Kemenangan itu membolehkan PSG kembali selesa menerajui Ligue 1 dengan lapan mata, sekali gus muncul pasukan pertama sejak Tottenham melakukannya pada 1960 dengan menduduki salah satu daripada lima liga utama di Eropah menerusi 11 kemenangan berturut-turut.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen