Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo menganggap dirinya sebagai pemain terbaik dunia dan berasakan keinginannya untuk terus maju sebagai faktor kejayaan dalam kariernya.

Kapten Portugal itu dilihat sebagai pilihan utama untuk merangkul anugerah Ballon d'Or tahun ini selepas menjulang Liga Juara-Juara Eropah dan Euro 2016 di peringkat kelab dan antarabangsa.

Walaupun sudah mencecah usia 31 tahun, namun keyakinan yang ditonjolkan pemain itu langsung tidak menampakkan penurunan setakat ini.

"Saya sentiasa mengingkatkan diri saya bahawa saya pemain terbaik dunia," dia memberitahu La Gazetta dello Sport.

"Dan peringatan itu membuatkan saya bekerja keras setiap hari dengan niat untuk menjadi yang terbaik di atas padang.

"Saya sentiasa cuba memajukan diri saya. Saya percaya itu adalah faktor penting di sebalik kejayaan saya di atas padang."

Ronaldo menempuh permulaan musim ini dengan hambar ekoran ditimpa kecederaan dalam final Euro 2016, namun dia berasakan semakin hampir menemui prestasi sebenar selepas meledak lima gol dalam dua perlawanan bersama Portugal dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018.

"Saya rasa 100 peratus cergas ketika ini, saya sudah kembali ke prestasi terbaik saya. Saya tidak sabar untuk kembali melalui musim yang menakjubkan."