Bintang Juventus dan Portugal, Cristiano Ronaldo, masih belum pasti bila akan bersara selepas berkata ia mungkin hadir tahun depan atau dia mampu terus bermain sehingga mencecah umur 40 tahun.

Penyerang berusia 34 tahun itu terus menyerlah selepas menyertai Juve tahun lalu, dengan menjaringkan 28 gol dalam 43 perlawanan dan membantu gergasi Itali itu menjuarai Serie A bagi musim 2018-19.

Pemenang Ballon d'Or lima kali itu masih belum pasti bila dia akan berhenti bermain walaupun menegaskan ia mungkin tidak lagi jauh.

"Saya tidak memikirkan mengenainya," kata Ronaldo kepada TVI.

"Mungkin saya akan meninggalkan karier saya tahun depan... tetapi saya juga mungkin dapat beraksi sehingga 40 atau 41 tahun.

"Saya tidak tahu. Apa yang selalu saya katakan adalah nikmati setiap saat beraksi. Ia merupakan satu hadiah bagi saya dan saya mahu terus menikmatinya."Bersama-sama anugerah individu yang dimenangi, Ronaldo telah memenangi lima gelaran Liga Juara-Juara (UCL) (empat bersama Real Madrid dan satu bersama Manchester United), tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan dua trofi LaLiga.

Ronaldo mahu mencipta sejarah dan motivasinya adalah memahat rekod baru.

"Adakah terdapat mana-mana pemain bola sepak yang mempunyai lebih banyak rekod daripada saya?" Ronaldo bertanya.

"Saya tidak fikir terdapat mana-mana pemain bola sepak yang mempunyai rekod lebih banyak daripada saya."

Ronaldo dan Juventus akan memulakan kempen Serie A dengan kunjungan ke Parma, Sabtu ini.