Penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon, berkata dia tidak memiliki sebarang keinginan untuk bersara dan berasakan mampu beraksi sehingga usia 65 tahun.

Pemain kebangsaan Itali itu masih memiliki kontrak bersama juara Serie A sehingga penghujung musim 2016-17.

Bagaimanapun, Buffon yang meluahkan hasratnya untuk bersara selepas tamat Piala Dunia 2018, menegaskan dia masih bertenaga dan memiliki perancangan untuk terus kekal beraksi di atas padang.

"Saya tidak berasakan saya sudah tua pada usia 38 tahun," kata Buffon kepada Tuttosport.

"Adakah saya akan meninggalkan sukan ini 10 tahun atau 15 tahun lagi? Siapa yang tahu, saya mungkin bersara ketika saya berusia 65 tahun...

"Saya tidak mengalami banyak kekalahan dalam hidup saya tetapi kekalahan telah mengajar saya lebih banyak daripada kemenangan.

"Setiap kali saya tewas, saya memberikan tumpuan kepada pasukan lawan dan kesilapan yang telah saya lakukan.

"Saya juga banyak melakukan kesilapan dan masih melakukannya, tetapi saya masih lagi mencuba untuk mempertingkatkan kualiti permainan saya.

"Saya menolak mengambil dadah ketika saya berusia 13 tahun. Seorang lelaki di Parma menawarkan kepada saya untuk berseronok.

"Saya berkata tidak dan tiga tahun kemudian dia telah meninggal dunia akibat dos berlebihan. Saya percaya dalam membuat keputusan yang betul, ia merupakan watak dan personaliti saya."