James Rodriguez mengulangi kenyataan bahawa dia ingin bermain lebih kerap untuk Real Madrid meskipun menegaskan dia menghormati hubungannya dengan ketua jurulatih, Zinedine Zidane.

Di sebalik kejayaan awalnya menyesuaikan diri di Santiago Bernabeu susulan perpindahannya yang bernilai EUR80 juta (RM375j) dari Monaco pada Julai 2014, peluang pemain antarabangsa Colombia itu semakin terhad.

Laporan kerap mengaitkan hubungan dingin di antara James dengan Zidane sejak pemenang Piala Dunia itu dilantik pada Januari. Ini berikutan pengurus dari Perancis itu lebih senang membuat pilihan lain.

Musim ini, James hanya diturunkan dalam empat aksi La Liga -- hanya dua daripadanya bermula dalam kesebelasan utama -- namun dia menepis dakwaan hubungan dinginnya dengan Zidane biarpun jarang diturunkan.

"Saya mahu beraksi lebih kerap," katanya kepada RCN. "Tetapi Zidane yang mengeluarkan semua arahan dan beliau yang menentukan siapa yang akan diturunkan atau tidak.

"Beliau membuat keputusan. Anda perlu menghormatinya."

Berkenaan dengan hubungannya dengan Zidane yang dilaporkan goyah, James menambah, "Ia tidak seperti yang diperkatakan semua orang.

"Hubungan kami utuh sebagai pemain dan jurulatih.

"Saya berada di kelab di mana semua orang mahukan kemenangan dan saya pula mahu kerap beraksi. Ini adalah sebuah kelab terbesar di dunia. Ini adalah Real Madrid."