Bintang Borussia Dortmund, Erling Haaland, percaya 'karma' telah memainkan peranannya berikutan perseteruannya dengan penjaga gol Sevilla, Yassine Bounou, dengan berkata "Saya menjaringkan gol setelah dia tidak menipu" dalam perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Haaland menjaringkan dua gol ketika Dortmund mengikat wakil LaLiga, Sevilla, 2-2 untuk layak ke suku akhir dengan agregat 5-4.

Haaland menjadi pemain terpantas merekodkan 20 gol dalam UCL selepas mencapai jumlah itu hanya dalam penampilannya yang ke-14.

Pemain berusia 20 tahun itu memecahkan rekod berkenaan menerusi jaringan penalti pada minit ke-54 -- penyerang muda berpotensi Norway itu meraikan jaringannya di depan muka Bounou selepas mengambil semula sepakan berkenaan.

Bounou awalnya dapat menyelamatkan sepakan penalti itu tetapi ia terpaksa diambil semula selepas penjaga gol berkenaan dikesan keluar terlalu awal dari kawasannya dan Haaland tidak melakukan kesilapan untuk menyudahkan peluang keduanya itu.

Haaland jelas menikmati momen itu -- di mana kedua-dua pemain berkenaan saling ejek-mengejek -- dalam sidang media selepas perlawanan.

"Saya terlepas jaringan itu tetapi ia disebabkan dia menipu. Jadi, saya kemudian mengambilnya semula dan menjaringkan gol setelah dia tidak menipu.

"Apabila dia menjerit di depan muka saya selepas sepakan pertama, saya fikir ada baiknya jika saya menjaringkan satu gol lagi. Dan benar, ia berlaku, jadi ia sesuatu yang bagus." katanya.

Haaland menambah: "Saya fikir ia satu karma."