Kylian Mbappe tidak percaya bahawa dia akan muncul sebagai "penyelamat" Perancis dan memastikan Les Bleus layak ke Piala Dunia.

Walaupun Perancis memiliki kelebihan satu mata dalam saingan Kumpulan A menjelang pertemuan dengan Bulgaria, hanya tiga mata daripada kunjungan ke Sofia dan dalam perlawanan di tempat sendiri bertemu Belarus, akan menjamin tempat mereka ke Russia 2018.

Mbappe meledak gol pertamanya untuk skuad Perancis ketika meraih kemenangan 4-0 ke atas Belanda di Paris pada Ogos lalu, namun skuad Didier Deschamps gagal untuk mencipta sebarang jaringan ketika seri dengan Luxembourg, tiga hari berikutnya.

Keputusan itu menyaksikan Perancis mampu dipintas Sweden manakala Belanda dan Bulgaria berada dalam kedudukan yang tipis untuk mara secara automatik tetapi penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Mbappe, tidak terganggu dengan tekanan itu.

"Tidak, saya tidak akan menyelamatkan Perancis," kata Mbappe.

"Kami memiliki 11 pemain di atas padang.

"Orang ramai menjangkakan saya melakukan sesuatu dan ia merupakan perkara biasa.

"Tetapi saya berasakan Perancis memiliki skuad yang berkualiti dengan pemain-pemain yang bertaraf dunia. Ia bukan hanya bergantung pada seorang pemain, semua pemain memiliki peranan masing-masing.

"Saya tidak sabar menantikan perlawanan yang penting ini. Kami mahu bermain dalam perlawanan ini dan membanggakan Perancis," katanya.

Mbappe telah memulakan musim baru bersama PSG dengan cemerlang, selepas berganding dengan pemain termahal dunia, Neymar, tetapi dia enggan membandingkan bintang Brazil itu dengan rakan senegaranya, Antoine Griezmann.

"Kedua-duanya adalah pemain yang berbeza. Neymar seorang pemain yang kreatif manakala Griezmann lebih klinikal di depan gol. Mereka adalah pemain yang berbeza dan saya boleh mempelajari perkara daripada mereka setiap hari," katanya lagi.