Ketua jurulatih Belanda, Frank De Boer, menegaskan dia sentiasa mahu menang selepas mengalami kekalahan 1-0 kepada Mexico dalam aksi pertama kendaliannya, namun mengingatkan kepada pengkritiknya bahawa dia telah merehatkan beberapa pemain utama menjelang aksi Liga Negara-Negara.

Raul Jimenez menjaringkan sepakan penalti dalam separuh masa kedua bagi memastikan kemenangan dalam perlawanan persahabatan di Johan Cruijff Arena awal pagi tadi, di mana menyaksikan De Boer bertemu pengendali Mexico, Gerardo Martino -- yang berjaya sebagai pengendali kelab Liga Bolasepak Utama (MLS) Atlanta United.

De Boer meninggalkan Atlanta pada Julai dan dilantik sebagai pengganti Ronald Koeman sebagai jurulatih Belanda turut menghadirkan persoalan dalam kalangan penyokong berdasarkan rekod yang kurang cemerlang di peringkat kelab sejak kebelakangan ini.

Inter memecat De Boer selepas hanya 85 hari mengendali pasukan itu pada 2016, dan bekas pertahanan Belanda itu sekadar bertahan dalam tujuh perlawanan ketika mengendalikan Crystal Palace dalam Liga Perdana Inggeris pada tahun berikutnya.

Dalam penampilan pertamanya di pentas antarabangsa, dia memberikan penampilan sulung buat Owen Wijndal dan Teun Koopmeiners, sementara merehatkan Frenkie de Jong dan Daley Blind menjelang aksi berdepan Bosnia-Herzegovina pada Ahad dan kunjungan ke Itali tiga hari kemudian.

"Sememangnya saya memiliki perasaan yang kurang senang," kata De Boer. "Saya sentiasa mahu menang.

"Tetapi kami perlu membuat keputusan, di mana saya melihat ia adalah logik. Kami tidak menurukan beberapa pemain, kami bakal berdepan dua perlawanan selepas ini.

"Lebih-lebih lagi, saya tidak percaya bahawa saya jurulatih skuad kebangsaan pertama yang tewas dalam penampilan sulung."

"Keputusan ini kurang menyenangkan," tambah De Boer. "Tetapi ia perlawanan latihan buat kami.

"Anda boleh memberikan alasan bahawa pemain-pemain terbaik tidak diturunkan. Kami mengetahui Frenkie de Jong penting buat pasukan tetapi dia tidak terlibat dalam perlawanan ini. Tetapi jangan dilupakan bahawa Teun Koopmeiners bermain baik di bahagian tengah."

De Boer, yang bermain untuk Belanda sebagai pertahanan lebih daripada 100 kali, menawarkan kata-kata sokongan buat pemain berusia 20 tahun, Wijndal, yang melakukan kesilapan hampir menghukum Belanda.

"Dia bermula agak goyah, tetapi saya berasakan dia telah berjaya mendapatkan semula permainan terbaik."