Penyerang skuad kebangsaan, Amri Yahyah, menegaskan dia tidak merancang untuk bersara daripada pentas antarabangsa sepertimana dilakukan rakan sepasukan di Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Razak, S. Kunalan dan Amirul Hadi Zainal.

Luahan Amri juga seolah-olah sindiran apabila menegaskan maruah negara melebihi wang ringgit dalam perbualan akhirnya bersama media yang menyambut kepulangan skuad negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Pemain berusia 35 tahun itu menegaskan selagi kudratnya diperlukan, tiada alasan untuk dia tidak berbakti buat skuad negara walaupun umurnya kian meningkat.

"Saya tidak pernah berniat untuk bersara. Bola sepak memang hidup sejati dalam hati saya, saya bermain bukan kerana wang ringgit," jelasnya.

Amri yang turut bersama skuad negara ketika kejayaan menjulang kejuaraan Piala AFF enam tahun lalu, mengakui jurang perbezaan dengan skuad terkini begitu ketara.

Kehadiran ramai muka baru dan tanpa kelibat tunjang utama, Malaysia bagaikan hilang sengat.

"Beza agak ketara kerana masa tahun 2010, kami sudah bermain dengan lama tetapi kali ini banyak pertukaran pemain, jadi ia agak menjejaskan aksi."