Javier Pastore menafikan dia telah mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya selepas terdapat laporan yang menyatakan dia bakal meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG).

Pastore bukan lagi pemain pilihan utama di Parc des Princes selepas kelab itu terus membawa masuk lebih ramai pemain ke dalam skuad.

Kehadiran Neymar dan Kylian Mbappe memperkukuhkan lagi jentera serangan bersama Angel Di Maria dan Julian Draxler, dengan Edinson Cavani bertindak sebagai penyerang utama.

Pemain kebangsaan Argentina itu semakin kehilangan tempat di dalam pasukan selepas hanya beraksi dalam lapan perlawanan liga, musim ini.

Pastore dilihat penuh emosi selepas melambai-lambai kepada penyokong PSG selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Caen pada Rabu lalu, yang meningkatkan lagi khabar angin mengenai penghijrahannya, dengan Atletico Madrid dan Inter berminat mendapatkan khidmatnya.

Ejennya, Marcelo Simonian, memberi bayangan pemain berusia 28 tahun itu telah beraksi buat kali terakhir, bagaimanapun Pastore menafikan perkara itu.

"Saya masih belum mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukan saya," kata Pastore.

"Saya masih lagi pemain PSG dan mahu memberikan yang terbaik setiap kali saya diturunkan.

"Kontrak saya akan tamat pada penghujung tahun depan. Ketika ini, saya mahu terus mempamerkan aksi terbaik.

"Benar, saya mahu mendapatkan lebih banyak masa bermain. Jurulatih telah membuat keputusan dan saya perlu terus memperbaiki permainan saya," katanya.