Antonio Conte berkata keraian gilanya merupakan satu "ganjaran" buat pasukannya selepas Matteo Darmian menjaringkan gol kemenangan untuk pendahulu Serie A itu menewaskan Cagliari 1-0 malam tadi.

Darmian menyudahkan umpanan lintang Achraf Hakimi pada 13 minit terakhir untuk Inter selangkah menghampiri gelaran Scudetto dengan kekal berkelebihan 11 mata di puncak Serie A.

Conte memberikan reaksi terhadap gol itu dengan berlari ke tepi padang dan melompat masuk ke dalam keraian pemainnya semelum memberikan ciuman kepada pencetus gol itu, Hakimi.

AC Milan memberikan tekanan buat Inter dengan menewaskan Parma semalam dan Conte percaya kemenangan terbaru itu amat wajar untuk diraikan sedemikian memandangkan hanya lapan perlawanan berbaki musim ini.

"Saya sentiasa tertekan tetapi keraian itu merupakan satu ganjaran buat pemain saya, sama juga dengan ciuman buat Hakimi," katanya kepada DAZN.

"Saya tidak meletakkan diri saya seperti seorang abang tetapi saya sentiasa memberikan ciuman di dahi mereka, mereka sedar kasih sayang yang saya ada buat mereka dan saya bersedia untuk meredah api untuk mereka. Hakimi layak menerimanya, sama juga buat Darmian.

"Saya sentiasa mengulangi perkara sama. Perlawanan semakin berkurangan dan setiap kemenangan seperti bernilai enam mata.

"Milan menang di Parma semalam dan ia amat penting untuk kami mengekalkan jurang di kedudukan teratas tetapi buat masa ini, kami sudah terbiasa dengan situasi seperti ini.

"Buat ramai pemain, ia merupakan kali pertama mereka bermain di bawah terkanan seperti ini dan perlu menang kerana pasukan lain juga sedang mengumpulkan mata tetapi saya amat berpuas hari dengan perkembangan pemain ini.

"Kami sudah berkembang pesat dalam tempoh dua musim ini daripada setiap aspek dan membuktikannya setiap hujung minggu.

"Saya sentiasa katakan mengenai perkiraan untuk menjulang kejuaraan dalam setiap ucapan saya kerana kami bermain untuk memenanginya dan sentiasa mendorong ke depan. Kami bukannya pasukan yang melakukan kira-kira dan saya tidak mahu kami menjadi seperti itu kerana saya amat gemar untuk memperoleh kemenangan dan saya mahu pemain saya juga berasa seperti itu.

"Objektifnya sudah kelihatan tetapi kami masih belum sampai ke sana, kami sudah memenangi tiga perlawanan besar dalam tempoh lapan hari tetapi pada masa sama, ia masih belum cukup kerana masih ada lapan perlawanan," katanya.