Zinedine Zidane berkata dia tidak bimbang dipecat oleh Real Madrid kerana dia tahu akan berdepan nasib itu pada suatu masa nanti dalam kerjayanya selaku pengurus.

Pemenang Piala Dunia 1998 itu menggantikan Rafael Benitez di Santiago Bernabeu pada Januari lalu membawa mereka merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-11.

Bagaimanapun, Zidane gagal membawa Real menjuarai La Liga apabila mereka dibezakan hanya satu mata dengan musuh tradisi, Barcelona.

Musim ini mereka berdepan cabaran berbeza.

Selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Espanyol, sekali gus menyamai rekod 16 kemenangan berturut-turut oleh Barcelona, anak buah Zidane gagal mengutip tiga mata setakat ini.

Madrid telah merekodkan empat keputusan seri -- tiga dalam liga dan satu di pentas Liga Juara-Juara Eropah -- dan Zidane mengakui berasakan tekanan itu.

"Saya tidak takut untuk dipecat," katanya kepada RMC. "Kerana perkara itu tetap akan berlaku dalam kerjaya saya suatu hari nanti.

"Ketika ini, saya sedang menikmati saat ini. Saya telah diberikan peluang yang cukup berharga dan saya gembira dengan tanggungjawab saya terhadap pasukan ini.

"Bagaimanapun, masih banyak yang perlu saya pelajari. Bekerja sama di kalangan pemain bertaraf dunia memberikan satu pengajaran berharga. Pada saya, sesi latihan lebih menarik berbanding hari perlawanan.

"Kalah atau menang, saya memiliki skuad yang cukup mantap."

Sementara itu, Zidane percaya masalah dialami pemainnya ketika ini lebih bersifat psikologi berbanding fizikal.

"Apa yang penting ketika ini adalah untuk mencari jalan penyelesaian. Saya akan menemui penyelesaian itu.

"Saya tidak rasa senario ini melibatkan aspek fizikal kerana apa yang lihat ketika ini, kami sering dihukum pada awal permainan.

"Kami sedang mengenal pasti apakah masalah utamanya."