Javier Saviola mengakui leih berminat untuk melihat Lionel Messi beraksi berbanding Cristiano Ronaldo tatkala kedua-dua pemain bakal bertembung dalam pertemuan pertama El Clasico dalam LaLiga musim ini.

Barcelona menerima kunjungan Real Madrid pada Sabtu, dengan pasukan tuan rumah ketinggalan enam mata di belakang skuad kendalian Zinedine Zidane.

Perlawanan tersebut hadir pada masa sama Messi dan Ronaldo dalam perebutan menjulang anugerah Ballon d'Or, selepas kedua-duanya sering kali muncul pemenang setiap tahun sejak tahun 2008.

Saviola -- yang pernah beraksi bersama kedua-dua pasukan -- memilih Messi berbanding Ronaldo, namun menyanjungi pencapaian kedua-dua pemain.

Dia memberitahu Omnisport: "Saya suka melihat cara Messi bermain bola sepak. Jika saya perlu membuat pilihan, saya memilih Messi.

"Ini sekadar pendapat saya, tetapi tidak boleh disangkal bahawa Cristiano seorang pemain yang cukup hebat.

"Cristiano umpama mesin gol, dia memiliki fizikal yang cukup kuat manakala Messi memiliki skil dan gemar menghiburkan penonton dengan sentuhannya.

"Apabila mereka menamatkan karier satu hari nanti, kedua-duanya akan muncul selaku pemain terhebat dalam sejarah bola sepak."