Saul Niguez menerima hakikat Atletico Madrid perlu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah beraksi di tempat lawan selepas diikat Espanyol 1-1 dalam saingan LaLiga, awal pagi tadi.

Saul menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang dalam babak kedua selepas jaringan sendiri Stefan Savic meletakkan Espanyol di depan.

Jan Oblak menafikan percubaan Victor Sanchez, menolak bola singgah ke palang gol sekali gus membolehkan Atletico membawa pulang satu mata.

Keputusan itu menyaksikan Atletico hanya menang satu daripada 10 perlawanan di tempat lawan, meletakkan mereka jauh ketinggalan berbanding Barcelona dan Real Madrid sambil Saul menegaskan mereka perlu memperbaiki catatan di luar laman sendiri.

"Kami sukar meraih kemenangan di luar laman sendiri pada tahun ini," katanya.

"Sokongan peminat kami menunjukkan segalanya.

"Kami harus belajar. Masa terus berjalan dan kami perlu mendapatkan banyak mata yang dilepaskan di tempat lawan."

Pengurus pasukan, Diego Simeone, turut mengakui prestasi buruk Atletico di tempat lawan tetapi dia tampak tenang dan yakin mampu mengubah situasi itu.

"Kami harus menang di gelanggang lawan," katanya.

"Kami fikirkan tentang perlawanan di Wanda Metropolitano, kemudian cuba perbaiki persembahan di tempat lawan.

"Apabila aksi bermula, kami cuba dapatkan tiga mata. Dalam beberapa perlawanan terakhir (menentang Valencia, Granada, Villarreal dan Espanyol), kami meraih dua kemenangan dan seri dua kali.

"Kami berikan segalanya dan diharapkan ia membuahkan hasil. Untuk mara ke Liga Juara-Juara Eropah dan selamat daripada penyingkiran, anda perlu berikan segalanya untuk bersaing."