Saul Niguez memohon maaf kepada penyokong Atletico Madrid selepas skuad kendalian Diego Simeone tewas 2-1 kepada RB Leipzig dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Atleti dilihat sebagai calon yang realistik untuk melangkah ke final selepas diundi bersama Leipzig, Paris Saint-Germain dan Atalanta.

Tetapi jaringan pada minit ke-88 oleh Tyler Adams membenarkan Leipzig kembali mendahului permainan selepas Joao Felix menafikan jaringan pembukaan Dani Olmo, dengan kelab Bundesliga itu mara di Lisbon untuk berdepan PSG.

Pemain tengah Atletico, Saul mengakui ia adalah sesuatu yang mengecewakan buat penyokong kelab di Lisbon.

"Lawan bermain dengan lebih baik berbanding kami dalam perlawanan ini, katanya.

"Kami sangat teruja, penyokong berhak menerima persembahan yang lebih cemerlang. Kami memohon maaf di atas penyingkiran ini."