ATLETICO MADRID 2 BORUSSIA DORTMUND 0

Atletico Madrid kembali ke landasan kemenangan di pentas Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Borussia Dortmund 2-0, awal pagi tadi.


Jaringan daripada Saul Niguez dan Antoine Griezmann di Wanda Metropolitano menamatkan kritikan buat pengendali pasukan, Diego Simeone, yang sebelum ini dikritik hebat ekoran kekalahan 4-0 kepada lawan sama, dua minggu lalu.

Saul menghasilkan penyudah menarik hasil gerakan sepasukan pada setengah jam pertama dan disebalik beberapa siri penyelamatan yang dilakukan penjaga gol Dortmund, Roman Burki, Griezmann memastikan tiga mata penuh buat pasukannya ketika berbaki 10 minit perlawanan.

Keadaan mungkin berbeza jika Raphael Guerreiro berjaya menanduk masuk peluang terhidang, namun kegagalannya itu dimanfaatkan Atletico untuk kini berkongsi kedudukan pendahulu Kumpulan A bersama lawan tersebut hasil pungutan sembilan mata.

Aksi di awal permainan dikuasai Dortmund tanpa sebarang ujian diberikan kepada Burki sebelum Saul membuka jaringan pada minit ke-33.

Menerusi penguasaan di bahagian lawan, Saul bertukar-tukar hantaran bersama Filipe Luis sebelum pemain itu merembat masuk bola yang gagal dikeluarkan Manuel Akanji.

Dortmund mampu menarik nafas lega 10 minit selepas itu apabila percubaan menarik daripada Luis dan Griezmann digagalkan Burki.

Gerakan satu dua daripada Juanfran dan Angel Correa hampir membuahkan hasil, namun Burki sekali lagi menjadi penyelamat Dortmund menerusi aksi penyelamatan menarik.

Kemasukan Guerreiro dalam babak kedua memberi keseimbangan dalam jentera serangan Dortmund, dengan dia hampir menanduk masuk bola umpanan Paco Alcacer.

Griezmann menamatkan persaingan itu menerusi larian solo menarik sebelum mengekalkan ketenangan ketika menewaskan Burki untuk memastikan kemenangan buat Atletico yang semakin hampir ke pusingan kalah mati.