Satu malapetaka jika Bundesliga tidak ditamatkan -- Mintzlaff

Oleh Nafis Abdullah 19 April 2020 142
Satu malapetaka jika Bundesliga tidak ditamatkan -- Mintzlaff
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RB Leipzig, Oliver Mintzlaff, percaya jika saingan Bundesliga gagal ditamatkan ekoran wabak coronavirus, ia menjadi satu malapetaka.

Jerman telah memulakan tempoh kawalan bagi menghentikan COVID-19 daripada merebak sambil perhimpunan dan pengumpulan dalam kelompok besar dilarang sehingga penghujung Ogos depan.

Keputusan itu bermakna Bundesliga tidak akan ditamatkan di depan penonton.

Terdapat harapan untuk saingan disambung secara tertutup dan Mintzlaff melihatnya sebagai satu keperluan bagi mengelakkan sebarang masalah kewangan dihadapi beberapa kelab.

"Ia akan menjadi satu malapetaka kerana mendorong kepada banyak kelab untuk muflis," katanya.

"Kami cintakan Bundesliga dan semua peminat mahu ia diteruskan. Namun, kami mahu melakukan segalanya untuk mengelak malapetaka ini.

"Kami percaya saingan tanpa penonton boleh dijalankan serta-merta. Untuk melakukannya, sebagai contoh, kami perlu memastikan seramai 200 hingga 300 orang boleh datang ke stadium bagi melancarkan perlawanan.

"Kami juga semestinya diminta untuk menyokong semua perkara bersama bahagian kesihatan, jadi pada minggu depan dalam mesyuarat Liga Bolasepak Jerman (DFL), kami akan hadir dengan penyelesaian untuk saingan dijalankan tanpa pemerhati.

"Saya menjangkakan isu ini akan ditentukan dalam Persidangan Kementerian bersama Kaunselor pada 30 April nanti."

Ditanya jika ketiadaan penyokong akan memberi kesan kepada perlawanan, Mintzlaff menambah: "Ia menyeronokkan untuk melihat pasukan mana yang mampu bersaing lebih baik serta pencabar yang kekurangan sokongan di stadium.

"Ia akan menjadi kisah menarik yang tidak boleh dijangka kerana semua orang tidak pernah mengharungi situasi ini."
 

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen