Ronald Koeman mengelak untuk menyuarakan keupayaan Barcelona untuk mengulangi kebangkitan menakjubkan dalam Copa del Rey apabila menghadapi Paris Saint-Germain (PSG) minggu depan.

Barca mengatasi defisit 0-2 dalam pertemuan pertama apabila mengejutkan Sevilla 3-0 selepas masa tambahan di Camp Nou, awal pagi tadi, untuk mara ke final Copa del Rey.

Ousmane Dembele menyalakan harapan Barca dengan jaringan awal babak pertama sementara penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen, cemerlang menepis sepakan penalti Lucas Ocampos menuju 17 minit akhir perlawanan.

Gerard Pique memanfaatkan masa kecederaan dengan menggandakan kelebihan Barca sekali gus menyamakan kedudukan secara agregat 2-2, beberapa saat sebaik tonggak Sevilla, Fernando, dibuang padang.

Martin Braithwaite kemudian memastikan gol ketiga Barca pada awal masa tambahan untuk gergasi LaLiga itu menanti di pentas final sambil menantikan perhitungan di antara Athletic Bilbao atau Levante, awal pagi esok.




Barisan asuhan Koeman itu juga perlu mempamerkan kebangkitan sekiranya berhajat lolos ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) memandangkan tumbang 1-4 dalam pertemuan awal dengan jaguh Ligue 1, PSG, di laman sendiri.

Bercakap kepada wartawan sejurus menyingkirkan Sevilla, pengurus Barca itu berkata: "2-0 lebih senang untuk dipadamkan walaupun sebenarnya tetap tidak mudah, tetapi 1-4 adalah sesuatu yang berbeza.

"Apatah lagi mereka (PSG) memiliki pasukan yang mantap dengan barisan bintang dan dalam apa-apa kejohanan sekalipun, kami akan turun untuk mencapai kemenangan kemudian akan lihat apakah ada peluang untuk mara.

"Jika tidak, kami harus akur dan terus berusaha dengan cara yang sama."

Kelab Catalunya itu masih tercari-cari rentak pada musim pertama kendalian Koeman dan kelab gergasi Sepanyol berkenaan dijurangkan lima mata dengan pendahulu LaLiga, Atletico Madrid, yang memiliki kelebihan satu perlawanan di dalam tangan selain dikecewakan Athletic dalam final Supercopa de Espana musim ini.