Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, meramalkan laluan sukar buat skuad B-22 negara dalam kempen Kejohanan AFC B-23 di China, Januari depan dan berasakan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu perlu menjalani persiapan lebih rapi untuk menghadapi saingan itu.

Sathianathan tidak berniat memperkecilkan kemampuan barisan anak buah Kim Swee, namun dia bersikap realistik selepas barisan negara diundi bersama Iraq, Jordan dan Arab Saudi dalam Kumpulan C.

Bagi pengendali kebangsaan itu, sasaran realistik skuad itu adalah sekurang-sekurangnya mampu memberi saingan hebat ketika berdepan tiga negara Asia Barat itu.

"Memang sukar. Pasukan dari Timur Tengah ini bukan sahaja mempunyai strategi, malah fizikal mereka kuat.

"Namun, (diundi) dalam kumpulan mana-mana pun tetap bermasalah. Kita berharap mereka dapat memberikan saingan, menang satu atau dua perlawanan. Tetapi jangan berharap sangat," katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sathianathan berasakan skuad B-19 negara kendalian Bojan Hodak mempunyai peluang seimbang untuk mara ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 berlandaskan tahap permainan semasa pasukan itu selepas Kejohanan AFF B-18, bulan lalu.

Barisan muda negara juga mempamerkan aksi meyakinkan dalam beberapa aksi persahabatan ketika berdepan pasukan Liga Super dan Liga Perdana, baru-baru ini meskipun sebahagian besar tonggak pasukan itu berusia 17 dan 18 tahun.

"Mereka bermain agak baik, keputusan mereka juga bagus.

"Ada juga pasukan yang kuat dalam kumpulan itu tetapi diharapkan mereka memberi tentangan dan mendapatkan tempat kedua dalam kumpulan. Saya menyaksikan permainan mereka dan mereka bermain dengan baik," katanya.

Skuad remaja negara akan memulakan saingan Kumpulan F di Paju, Korea Selatan dengan berdepan Timor-Leste pada Selasa depan dan seterusnya menghadapi pasukan tuan rumah, Indonesia dan Brunei.