Bekas ketua jurulatih negara, B. Sathianathan, menganggap ini bukan masa yang sesuai andai nama penolong jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, diangkat selaku pilihan utama menggantikan Nelo Vingada.

Bukan menidakkan kredibiliti yang dimiliki Cheng Hoe, namun Sathianathan berasakan ini bukan masa terbaik untuk Cheng Hoe menggalas cabaran besar selaku jurulatih kebangsaan.

Cheng Hoe memerlukan lebih banyak pengalaman untuk mengendalikan skuad senior negara dan tempoh berguru selama lima tahun dengan Datuk K. Rajagobal dianggap belum cukup..

"Persoalan harus diberikan kepada Cheng Hoe bahawa adakah beliau sudah bersedia menggalas tanggungjawab itu. Kegagalan akan menghancurkan karier beliau," katanya.

Sathianathan sendiri memerlukan masa selama 14 tahun di bawah tunjuk ajar jurulatih luar seperti Allan Harris, Bertalan Bicskei dan Hatem Souissi.

Di tanya adakah skuad senior negara relevan dangan kehadiran jurulatih luar ketika ini, Sathianathan memiliki pendapat sendiri.

"Kita perlu mengetahui cara atau pendekatan yang sesuai untuk skuad kebangsaan,mengetahui kekuatan dan kelemahan pemain-pemain negara," ujarnya.