Sarri tuntut penyudah berkesan Juventus, bukan kemahiran individu 

Oleh Staff Writer 20 Oktober 2019 567
Sarri tuntut penyudah berkesan Juventus, bukan kemahiran individu 
JUVENTUS 2 BOLOGNA 1

Maurizio Sarri menyeru Juventus agar mengetepikan gaya kemahiran menarik secara individu yang tidak diperlukan selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Bologna, awal pagi tadi. 


Bianconeri berkelebihan empat mata untuk mendahului Inter di puncak Serie A selepas gol daripada Cristiano Ronaldo dan Miralem Pjanic menjamin kemenangan mereka. 

Bagaimanapun, Sarri tidak berpuas hati dengan cara beberapa penyerangnya yang terlalu banyak menonjolkan kemahiran mereka daripada membunuh perlawanan.

Bologna hampir mencuri satu mata ketika menuju minit-minit akhir permainan, termasuk rayuan penalti selepas insiden yang melibatkan pertahanan, Matthijs de Ligt, sambil percubaan Federico Santander terkena palang sebelum memaksa penjaga gol, Gianluigi Buffon, menyelamatkan sepakan gunting susulan.

"Ia adalah perlawanan yang bagus tetapi dicemari beberapa kesilapan," kata Sarri.

"Bagaimanapun, ada perbezaan tipis di antara menggelecek dengan cara yang produktif dan agak berlebihan. Kami beraksi dengan baik dalam tempoh 40 minit perlawanan tetapi untuk selama lima minit, ia langkah yang tidak tepat.

"Kami perlu melakukan gelecekan pada waktu yang sesuai dan bukan hanya untuk mempersembahkannya semata-mata. 

"Kami harus menguruskan kemenangan dan tahap tenaga dengan baik. Kami perlu memastikan kememangan dan dalam babak kedua, kami mempunyai peluang untuk melakukannya."

Pjanic berasakan Juventus sememangnya berhak meraih kemenangan itu walaupun terpaksa bertahan ketika Bologna memberi tekanan dalam masa kecederaan. 

"Kami sedar ia akan menjadi satu perlawanan yang rumit, kami sering menyaksikan corak permainan mereka," katanya.

"Bologna dalam prestasi yang hebat, bermain dengan baik dan begitu terancang di atas padang.

"Kami sepatutnya menjaringkan satu gol lagi untuk memastikan kemenangan tetapi pada akhirnya, kami masih memungut tiga mata berharga. Aksi selepas perlawanan antarabangsa selalunya bukan mudah.

"Akhirnya mereka juga keletihan kerana kami telah memaksa mereka berlari dengan banyak. Kami gembira dan mahu memandang ke hadapan."




 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen