BESIKTAS NAPOLI 1

Maurizio Sarri lebih memikirkan soal corak permainan berbanding keputusan perlawanan selepas Napoli dipaksa seri 1-1 dengan Besiktas dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.


Napoli membazirkan deretan peluang di Istanbul sebelum ketinggalan pada minit ke-78 menerusi sepakan penalti Ricardo Quaresma ekoran kekasaran yang dilakukan Nikola Maksimovic.

Empat minit berselang, Napoli kembali mengikat kedudukan hasil daripada rembatan jarak jauh Marek Hamsik untuk mengekalkan Napoli di puncak Kumpulan B.

Sekalipun Napoli gagal membalas dendam kekalahan 3-2 di tempat sendiri kepada Besiktas dalam aksi terdahulu disusuli kekalahan kepada Juventus dalam aksi Serie A minggu lalu, Sarri masih memiliki keyakinan terhadap skuadnya.

"Ketika ini, kami perlu memberi tumpuan kepada corak persembahan berbanding meraih kemenangan selepas mengharungi tempoh sukar.

"Kami mempamerkan rentak hebat ketika menentang Juventus dan Besiktas," ujar beliau kepada Mediaset Premium.

"Keputusan ini pahit untuk ditelan kerana kami menguasai permainan, namun malangnya ketika ini kami gagal memanfaatkan peluang terhidang.

"Selepas menyamakan kedudukan, kami memiliki peluang menarik untuk menang menerusi Dries Mertens and Lorenzo Insigne tapi media melihat kepada angka semata-mata.

"Sebagai jurulatih, saya berasakan kami telah mempersembahkan permainan yang memuaskan.

"Jika kami berjaya mengukuhkan semula barisan pertahanan, maka pergerakan serangan akan beroleh faedahnya."

Napoli jelas merindui sentuhan berbisa Arkadiusz Milik yang telah menyumbat tujuh gol dalam sembilan penampilan awal musim ini selepas penggempur itu terpaksa diketepikan akibat kecederaan lutut.

"Dia sangat bersemangat tinggi, saya rasa dia akan pulih lebih awal daripada yang dijangkakan, namun sudah tentu tidak akan kurang daripada dua bulan," kata Sarri mengenai Milik.

"Jika saya meratapi kecederaan, saya mungkin akan mencipta 2,000 alasan tapi perkara seperti ini berlaku dalam bola sepak. Kami harus memiliki kepercayaan."