JUVENTUS 3 UDINESE 1

Pengurus Juventus, Maurizio Sarri, mendapat manfaat daripada gandingan trio Cristiano Ronaldo, Paulo Dybala dan Gonzalo Higuain sambil memberi amaran ia tidak mungkin kerap berlaku.

Tiga penggempur itu mempamerkan aksi mengagumkan ketika menghadapi Bayer Leverkusen pada pertengahan minggu lalu apabila Dybala bangkit dari bangku simpanan dan mereka akhirnya membentuk kombinasi itu buat julung kalinya dalam Serie A.

Pendekatan itu nyata membuahkan hasil apabila Ronaldo menyumbat dua gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Udinese dengan salah satu golnya itu diilhamkan oleh Higuain. Setidak-tidaknya, Juve kembali ke puncak liga dengan menyamai mata Inter.

Bagaimanapun, bekas pengurus Napoli dan Chelsea itu mencadangkan ia hanya disebabkan gaya permainan konservatif Udinese yang mendorongnya memutuskan untuk memulakan ketiga-tiga penyerang berkenaan.

"Ia kali pertama kami dapat mengasak selepas perlawanan Liga Juara-Juara (UCL). Kami beraksi di tahap yang tinggi selama 60 minit," kata Sarri kepada Sky Sport Italia.

"Buat masa ini, ketiga-tiganya dalam prestasi yang baik dan kami menghadapi pasukan Udinese yang kurang menguasai bola, mereka lebih gemar membuat hantaran jauh.

"Oleh itu, saya fikir ini adalah situasi (yang sesuai) buat kami. Sebaik sahaja Udinese mula membuat hantaran pendek, kami bergelut, jadi itu adalah pilihan yang berharga buat kami tetapi tetapi kami tidak boleh mengetengahkannya sepanjang masa.

"Penyerang kami juga bekerja keras untuk membantu pertahanan dan memberi tekanan kepada pihak lawan dalam tempoh 60 minit pertama. Di jentera serangan, mereka melakukan apa yang saya minta dengan saling dan cepat bertukar hantaran.

"Sekiranya kami menghadapi perlawanan seimbang dengan penguasaan bola 50-50, maka ia akan menjadi lebih rumit. Mereka sangat teratur dan fokus pada hari ini.

"Ketika menghadapi Leverkusen, saya melihat mereka semakin keletihan dan bergelut untuk mengekalkan keamatan, jadi atas sebab itu saya memperkenalkan penyerang tiga serangkai. Udinese bermain dengan corak yang berbeza, mereka tidak begitu fokus dalam soal hantaran."

Sementara itu, Ronaldo percaya Juventus telah menemukan cara yang baik untuk menggabungkan ketiga-tiga pemain di barisan hadapan.

"Perkara yang paling penting ialah menang walaupun kami sepatutnya mungkin mencetak lebih banyak gol lagi," kata Ronaldo kepada Sky Sport Italia.

"Saya rasa ini cara yang baik untuk beraksi dan adalah penting bermain dengan keyakinan. Ini bukan mengenai persembahan individu tetapi bagaimana kami bekerja secara kolektif."