Biarpun pernah menjulang gelaran Liga Juara-Juara (UCL), LaLiga dan Bundesliga, namun Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis, sama sekali tidak akan menukar jurulatih, Maurizio Sarri, dengan Pep Guardiola.

Di bawah asuhan Sarri, Napoli muncul antara pasukan yang menampilkan permainan menarik di Eropah dengan mencatat rekod tujuh kemenangan berturut-turut dalam aksi pembukaan Serie A musim ini.

Namun, pengendali Juventus, Massimiliano Allegri, berjaya menundukkan seterunya itu baru-baru ini.

Allegri berkata adalah lebih mudah untuk memperagakan permainan menarik berbanding merakamkan kemenangan selepas Napoli menjadi pasukan sulung dalam sejarah Serie A untuk memenangi tujuh aksi pembukaan dengan merekodkan 25 gol.

De Laurentiis tampil mempertahankan Sarri dan menganggapnya lebih utama berbanding pengurus Manchester City, Guardiola, tatkala kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan dalam UCL, minggu depan.

"Saya sama sekali tidak akan menukar Sarri dengan Guardiola sekalipun mereka memperoleh pendapatan yang sama," kata De Laurentiis menerusi Sky Sport Italia dan Mediaset Premium.

"Sarri merupakan seseorang yang sangat serius mengkaji pemain-pemainnya selama beberapa bulan sebelum membenarkan mereka beraksi. Itulah sebabnya saya tidak mahu merombak skuad ini pada musim panas yang lalu."

Tambah De Laurentiis: "Semua orang akan cuba mencapai agenda peribadi. Kami mahu mencapai kedua-duanya, permainan menarik dan menang. Saya tidak fikir Gonzalo Higuain akan merindui Sarri dan begitu juga sebaliknya. Jurulatih kami seorang yang budiman dan baik hati, dia enggan terbabit dengan perbalahan -- tidak seperti saya.

"Kebanyakan penyerang mempunyai musim terbaik bersama kami sepertimana Edinson Cavani yang meraih 30 gol, Ezequiel Lavezzi menyerlah di sini dan begitu juga Fabio Quagliarella.

"Sarri adalah jurulatih hebat yang tiba dari liga bawahan dan dengan pendakian Napoli semakin meningkat. Dia jurulatih muda yang matang kerana di sebalik usianya, dia boleh menerima pembaharuan. Dia mengkaji bola sepak dan mengetengahkan apa yang telah dipelajarinya."

Napoli akan kembali beraksi hujung minggu ini selepas rehat antarabangsa dengan bertandang ke AS Roma.