FIORENTINA 0 JUVENTUS 0

Maurizio Sarri percaya Juventus amat bertuah untuk memperoleh satu mata daripada pertemuan Serie A dengan Fiorentina, namun gembira dengan perwatakan pasukannya.


Juve kehilangan mata buat kali pertama musim ini apabila terikat 0-0 dengan Fiorentina di Stadium Artemio Franchi malam tadi.

Pasukan pelawat itu kehilangan khidmat Douglas Costa dan Miralem Pjanic, masing-masing disebabkan kecederaan paha dan pinggul, sebelum waktu rehat dan gagal menyerlah dengan hanya penyerang baru Fiorentina, Franck Ribery, berupaya mencuri tumpuan.

Begitupun, Sarri, yang kali pertama terlibat di tepi padang musim ini selepas pulih daripada radang paru-paru, berasakan kecederaan awal dua pemain itu dan masalah kecergasan memberi kesan terhadap keseluruhan aksi Juve dan menerima pasukannya beraksi di bawah tahap sebenar.

"Kami tidak memaparkan prestasi terbaik," katanya kepada Sky Italia.

"Ia situasi yang amat rumit, Fiorentina beraksi dengan amat baik dan kami pula telah menggunakan kesemua pertukaran pemain kerana kecederaan dan tidak dapat menggunakan pemain lain untuk meningkatkan permainan.

"Dengan semua pembolehubah itu, kami melakukannya dengan amat baik daripada segi perwatakan untuk meraih mata daripada perlawanan ini.

"Kami kerap hilang penguasaan, yang mungkin juga disebabkan oleh isu fizikal.

"Bermain pada waktu tengah hari di Florence, yang masih berada dalam musim panas, amat sukar untuk semua orang.

"Kami berdepan kesukaran daripada segi teknikal dan saya yakin pasukan dengan perwatakan yang lebih rendah akan tewas.

"Ia adalah sesuatu yang positif dengan kualiti yang bernilai untuk mempunyai pasukan yang boleh berjuang untuk satu mata biarpun bukan dalam keadaan terbaik.

"Kami mempunyai lima pemain yang beraksi dalam Copa America dan lapan lagi di bilik rawatan, jadi hanya mempunyai separuh daripada pasukan yang mempunyai kecergasan lebih tinggi berbanding yang lain.

"Ia situasi yang sukar untuk diatasi dan kami memerlukan masa untuk memastikan mereka kembali ke tahap yang berpatutan, namun berita baiknya, kami dapat menamatkan perlawanan ini dengan kuat," katanya.