Maurizio Sarri menyuarakan kekecewaannya dengan kekalahan 3-2 Napoli dalam aksi Liga Juara-Juara di tangan Besiktas.

Kelab Serie A itu menguasai perlawanan tetapi akur pulang dengan tangan kosong dalam aksi di laman sendiri berikutan jaringan lewat Vincent Aboubakar.

"Kami merumitkan keadaan kami sendiri. Kami bermain dengan baik tetapi kami melakukan kesilapan pada waktu-waktu penting," Sarri memberitahu Mediaset.

"Gol pertama berpunca daripada kesilapan pertahanan, jaringan kedua hadir apabila barisan pertahanan gagal untuk memberikan tentangan dan kami terlalu naif untuk gol yang ketiga. Tambahan jaringan ketiga sepatutnya ofsaid.

"Tetapi saya melihat peningkatan berbanding perlawanan menentang Roma, cuma ia bukan satu peningkatan yang besar."

Kemasukan Dries Mertens memberikan sedikit peningkatan kepada Napoli tetapi dia gagal untuk membantu mereka mendapatkan keputusan yang baik dan pemain kebangsaan Belgium itu berasakan anak-anak buah Sarri tidak sepatutnya tewas.

"Kami tidak bernasib baik malam ini," kata Mertens.

"Mereka mempunyai tiga percubaan tepat dan menjaringkan ketiga-tiganya.

"Kami kehilangan Arkadiusz Milik malam ini tetapi itu bukan alasan mengapa kami tewas kerana pada akhirnya kami mempunyai peluang untuk menang.

"Kami mempunyai peluang dan kami sepatutnya memanfaatkannya untuk menang tetapi kami tidak berjaya."