Sarri nafi hubungan keruh dengan Pjanic

Oleh Shaiful Shamsudin 26 Jun 2020 48
Sarri nafi hubungan keruh dengan Pjanic
Pengurus Juventus, Maurizio Sarri, tidak gusar tentang kemelut masa depan Miralem Pjanic meskipun anak buahnya itu dikaitkan perjanjian pertukaran melibatkan pemain Barcelona, ​​Arthur.

Spekulasi bahawa kedua-dua kelab itu telah mencapai kesepakatan berkenaan semakin hangat dengan Juve dilaporkan sedia membayar Barca €10 juta (RM479.9j) untuk menghantar Pjanic ke Camp Nou sebagai pertukaran demi menyambar pemain antarabangsa Brazil tersebut bagi mengimbangi dana kelab yang terjejas berikutan wabak COVID-19. 

Namun, Arthur dilaporkan tidak berminat untuk berpindah sebelum hatinya mula berubah beberapa hari ini.

Bercakap menjelang pertembungan dengan Lecce bagi perlawanan Serie A awal pagi esok, Juve yang mengatasi Lazio di persada liga dengan tujuh mata, Sarri menegaskan bahawa dia tidak dimaklumkan bahawa oleh kelab itu bahawa tonggak kelahiran Bosnia berkenaan akan berpindah.

Dia juga menjelaskan bahawa dia tidak mendesak pemain tengah itu supaya berubah angin walaupun ada ura-ura yang mengatakan Pjanic tidak begitu sesuai dengan sistem permainan yang diterapkan Sarri.

"Jika dia dijual, itu adalah kerana alasan lain. Isu mengenainya tiada kena mengena dengan aspek teknikal," katanya semalam. 

"Tetapi kelab tidak memberikan saya sebarang bayangan dalam hal itu, jadi saya tidak mempertimbangkannya.

"Perbincangan di antara dia dan saya adalah mengenai aspek teknikal dan mental. Dia tidak perlu risau jika dia terlepas perlawanan tetapi dia harus bertindak balas dengan segera. 

"Saya gembira dengan Miralem dan saya yakin di posisi itu, dia boleh meningkat lebih jauh lagi."

Ketika ditanya secara khusus mengenai Arthur, Sarri menjawab: "Arthur merupakan pemain Barcelona dan saya tidak mahu membicarakannya."

Sarri tampak kesal dengan kenyataan rakan sejawat Barca, Quique Setien, mengenai khabar angin minggu ini yang mengatakan Arthur terjejas dengan spekulasi itu. 

"Dalam situasi ini, kami memerlukan kesemua pemain kami dan kami akan berusaha menjauhi diri daripada situasi ini, jadi pihak media yang berperanan melapor dan membangkitkan khabar angin ini," kata Setien.

"Kami perlu fokus. Memang betul ini adalah situasi yang sukar tetapi kami harus cari jalan untuk mengatasinya."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen