Sarri mahu Costa nikmati perlawanan sebelum sumbat gol kemenangan

Oleh Staff Writer 7 November 2019 160
Sarri mahu Costa nikmati perlawanan sebelum sumbat gol kemenangan
LOKOMOTIV MOSCOW 1 JUVENTUS 2

Douglas Costa mendedahkan Maurizio Sarri memberitahunya untuk menikmati perlawanan sebelum dia masuk dan menjaringkan gol kemenangan yang membawa Juventus ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.


Skuad The Bianconeri itu mengesahkan tempat dalam pusingan kalah mati selepas mencatat kemenangan 2-1 di Lokomotiv Moscow walaupun mereka memerlukan jaringan hebat Costa pada minit ke-93 untuk meraih tiga mata.

Aaron Ramsey meletakkan Juve di depan pada minit ketiga -- selepas mudah menolak masuk bola yang gagal didakap kemas oleh penjaga gol, Guilherme, ketika Cristiano Ronaldo melakukan sepakan percuma -- tetapi Aleksey Miranchuk pantas memadamkan jaringan pembukaan bintang Wales itu.

Ronaldo kecewa selepas gagal memecahkan rekod menjaringkan gol menentang 34 pasukan berbeza tetapi Costa yang menemui jaringan apabila mengelak beberapa terjahan dan melepaskan tendangan yang melepasi kaki Guilherme setelah berbalas hantaran dengan Gonzalo Higuain.

Ditanya UEFA.com apa yang Sarri katakan kepadanya sebelum masuk ketika permainan berbaki 20 minit, Costa menjawab: "Dia hanya mahu saya menikmati permainan dan bantu rakan sepasukan raih kemenangan. Saya lakukannya."

Ia merupakan jaringan pertama Costa sejak Januari lalu tatkala masalah kecederaan menyebabkan pemain berusia 29 tahun itu hanya tampil dalam empat perlawanan Serie A sejak tempoh tersebut.

"Ia benar-benar aksi yang sukar tetapi kami bermain dengan baik," tambah bekas pemain sayap Shakhtar Donetsk itu.

"Keadaan sejuk di sini tetapi rakan sepasukan saya amat hebat. Kami tenang dan akhirnya menjaringkan gol kedua.

"Saya pernah beraksi beberapa tahun di Ukraine dan bersedia dengan perlawanan ini.

"Ia aksi yang sangat penting kerana saya sudah diketepikan dalam tempoh yang lama tetapi kini saya kembali dan membantu pasukan."

Ia menjadi aksi yang tidak dilupakan buat Juventus tatkala Ronaldo gagal menghasilkan sebarang gol daripada lapan percubaan yang dilakukan.

Namun, kapten The Old Lady, Leonardo Bonucci, yang mengeluarkan bola di atas garisan gol sebelum jaringan kemenangan Costa, teruja dengan semangat yang dipamerkan pasukannya.

"Saya fikir kami menyesuaikan diri dengan baik dalam setiap situasi," katanya.

"Kami tampilkan aksi bola sepak yang disukai jurulatih kami tetapi kami juga bersedia untuk bersatu jika ditimpa masalah."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen