Sarri mahu bincang soal masalah lutut Ronaldo

Oleh Staff Writer 27 November 2019 1080
Sarri mahu bincang soal masalah lutut Ronaldo
JUVENTUS 1 ATLETICO MADRID 0 

Cristiano Ronaldo terus menanggung kesakitan di bahagian lutut dan pengurus Juventus, Maurizio Sarri, akan berbincang mengenai kecederaan berkenaan dengan pemain bintangnya itu. 


Ronaldo memperkuatkan kesebelasan utama Juve untuk membantu kemenangan 1-0 ke atas Atletico Madrid dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) di tempat sendiri awal pagi tadi selepas gagal membuat penampilan ketika membenam Atalanta dalam saingan Serie A hujung minggu lalu. 

Pemain antarabangsa Portugal itu kelihatan bergelut dalam permainan sebelum tendangan bebas Paulo Dybala memastikan Bianconeri menamatkan saingan Kumpulan D itu di puncak walaupun berbaki satu perlawanan lagi. 

Ronaldo dikeluarkan dalam dua perlawanan liga sebelum rehat antarabangsa yang lalu, justeru Sarri akur bahawa kecergasan pemain berusia 34 tahun tersebut harus ditangani. 

"Saya belum bercakap dengannya lagi tentang kesakitan lututnya," kata Sarri kepada Sky Sport Italia selepas Ronaldo menamatkan aksi sepanjang 90 minit. 

"Tetapi dia kelihatan dalam keadaan baik apabila di peringkat akhir permainan, dia cuba merampas bola dan berusaha keras ketika membantu pertahanan.

"Dybala pula pemain berkelas dunia yang dalam prestasi sangat positif, jadi dia sedang membuat perbezaan dalam perlawanan."

Walaupun Juve mengekalkan momentum dengan satu lagi kemenangan, pengurus itu tetap kecewa dengan aspek prestasi anak buahnya.

"Kami mengerah banyak tenaga pada hari ini, ia tidak dapat dielakkan dalam perlawanan UCL," katanya.

"Saya fikir kami melakukannya dengan baik tetapi seperti perlawanan dengan Atalanta hujung minggu lalu, kami begitu bergelut untuk mencapai kemenangan.

"Separuh masa pertama berlangsung dengan cukup menarik dan kami meneruskan rentak. Kami lebih cenderung bergelut dalam Serie A kerana perlu membuat hantaran dengan pantas. 

"Mungkin wujudnya motivasi yang lebih besar buat kami dalam UCL tetapi itu adalah satu kesilapan kerana kami sepatutnya mempamerkan gaya permainan ini dalam setiap pertandingan. 

"Saya berasa berang dalam babak kedua kerana kami kehilangan bola dengan mudah. Begitulah ketika bertemu Atalanta, kami kerap membenarkan pihak lawan membuat hantaran silang. 

"Mungkin kami perlu meningkatkan intensiti daripada segi menutup ruang itu dengan segera dan membuat membuat hantaran di bahagian sayap."






 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen