Sarri keliru rentak awal anak buah 

Oleh Penulis Jemputan 18 Oktober 2017 901
 Sarri keliru rentak awal anak buah 
MANCHESTER CITY 2 NAPOLI 1

Maurizio Sarri tidak begitu gembira dengan permulaan lembab Napoli dalam kekalahan kepada Manchester City selepas pendahulu Serie A itu ketinggalan dengan dua gol selepas hanya 13 minit permainan berlangsung. 


Raheem Sterling terlebih dahulu menyumbat gol pertama, disusuli jaringan Gabriel Jesus untuk City menghukum pihak lawan di Stadium Etihad. 

Dries Mertens terlepas peluang untuk merapatkan jurang apabila gagal menyudahkan sepakan penalti pada babak kedua, bagaimanapun Napoli memperkemaskan rentak mereka untuk memberi saingan dalam pertembungan Kumpulan F itu. 

Hasilnya, wakil Itali itu memperolehi gol menerusi sepakan penalti Amadou Diawara lalu jurulatih itu bersikap positif terhadap persembahan menarik kedua-dua pasukan. 

"Saya tidak pasti apa yang berlaku dalam tempoh 30 minit awal," katanya. 

"Kami memberi terlalu banyak ruang kepada sebuah pasukan yang berbahaya dan mereka menghukum kami. 

"Kami begitu hambar namun kami bermain dengan cukup baik dalam baki perlawanan. Kemampuan mengimbangi Manchester City dalam tempoh lebih sejam merupakan satu pencapaian. 

"Kami mampu memberi saingan dan ketika ini tidak banyak pasukan yang mampu bangkit seperti yang kami lakukan untuk memberi kesukaran kepada City. 

"Kami kesal gagal menyudahkan sepakan penalti pertama, namun kami sedar kami berada di landasan terbaik untuk memberi saingan di Eropah," katanya.

Di sebalik Napoli hampir membawa pulang satu mata, Mertens masih kecewa kerana tidak mampu memanfaatkan peluang keemasan pada babak pertama. 

"Kami telah membuktikan mampu beraksi di tahap ini. Bagaimanapun, kami sangat marah -- terutama kerana gagal mempersembahkan permainan sebenar pada awal permainan dan terlepas peluang menarik," katanya. 

"Saya gagal menyudahkan penalti dan satu lagi peluang. Saya sepatutnya mampu menyumbat gol. 

"Saya berang dengan diri sendiri berbanding berpuas hati dengan kebangkitan kami," kata Mertens lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen