Maurizio Sarri mengulangi pendiriannya bahawa Juventus tidak mampu bermain dengan tiga penyerang sambil melaungkan keyakinan mengenai kemampuan pasukannya untuk bangkit daripada kekecewaan seri dengan Sassuolo.

Sarri sering diajukan mengenai kemungkinan menggunakan khidmat Cristiano Ronaldo, Paulo Dybala dan Gonzalo Higuain secara serentak di bahagian hadapan.

Dybala diletakkan di bangku simpanan tatkala Ronaldo dan Higuain bangkit untuk mencatat seri 2-2 yang menyaksikan Juventus menyerahkan tempat teratas Serie A kepada Inter hujung minggu lalu.

Pasukan di tangga ketiga, Lazio, yang tercicir tujuh mata dalam perebutan kedudukan di puncak, bakal menjadi seteru mereka untuk bertandang ke Stadio Olimpico awal pagi esok.

Tidak mungkin Juve akan mempamerkan corak serangan dalam pertembungan di ibu negara itu, namun pada masa ini, Sarri menegaskan adalah mustahil untuk menurunkan ketiga-tiga pemain dengan serentak.

"Buat masa ini, bermain dengan tiga penggempur adalah sukar berdasarkan ciri-ciri pemain (yang kami ada)," katanya dalam sidang media.

"Anda tidak boleh melarang Dybala daripada turun ke bawah dan pada masa yang sama, karakter yang dimiliki Cristiano ialah tidak bermain di bahagian terlalu tengah. Kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengisi kawasan penalti dengan lebih kerap.

"Adalah normal bahawa selepas perlawanan Liga Juara-juara (UCL), akan berlaku penurunan tenaga, mentaliti dan keyakinan.

"Tetapi daripada apa yang saya lihat dalam sesi latihan, saya berasa yakin. Seperti biasa, kami harus bertindak balas di atas padang, mendapatkan tiga mata adalah penting tanpa mengambil kira corak permainannya.

"Ia akan menjadi perlawanan yang getir buat pasukan teratas, saya berharap motivasi kami adalah tinggi.

"Lazio merupakan pasukan yang mantap dengan kualiti yang hebat. Mereka adalah yang terbaik di Itali dan antara yang terbaik di Eropah untuk mencerobohi kawasan 25 meter terakhir, kami perlu mengelak mereka daripada menghampiri kawasan kami kerana mereka sangat berbahaya.

"Berdasarkan purata mata yang mereka kutip, Lazio perlu dianggap sedang bersaing merebut kedudukan atasan.

"Saya mengharapkan pendekatan yang hebat daripada Lazio yang pasti akan memiliki keazaman tinggi. Kami perlu menentangnya, turun dan menentukan perlawanan ini sebagaimana yang kami mahukan."