Pengurus Napoli, Maurizio Sarri, merendahkan peluang pasukannya untuk menjuarai Serie A sambil mendakwa Juventus berada di dalam ‘kelas yang berbeza’.

Kelab Bianconeri itu mengukuhkan kedudukan pendahulu dengan kemenangan 3-0 ke atas Empoli pada Ahad – membuka jurang empat mata ke atas Napoli, yang tewas 1-0 di Atalanta.

Tetapi Sarri menegaskan sebarang perbandingan di antara pasukan kendaliannya dengan juara bertahan itu adalah sia-sia.

“Juventus adalah sebuah pasukan di dalam kelas yang sama-sekali berbeza,” katanya.

“Kami tidak pernah mempunyai idea bahawa kempen liga kami harus dilihat seiring dengan Juventus.

"Kami sebuah pasukan muda yang perlu meningkat dan minggu ini akan membantu kami memahami kesilapan-kesilapan yang kami lakukan dan memperbaikinya.

"Jika mereka (Juventus) menghadirkan satu siri keputusan negatif, pada waktu itu kami mungkin bercita-cita mengejar kejuaraan tapi mereka tidak akan begitu.”

Sarri enggan terlalu mengkritik pasukannya disebabkan kekalahan itu, sebaliknya menyalahkan peralihan singkat daripada saingan Liga Juara-Juara menentang Benfica pada pertengahan minggu di atas kehambaran mereka.

“Kami perlu meningkat ketika berdepan lawan agresif yang mahu mengubah permainan menjadi satu pertarungan,” katanya.

“Perlawanan-perlawanan menentang pasukan yang fizikal menguji kemampuan sebenar kami dan sebagai sebahagian pembangunan berterusan pasukan, kami perlulah mampu untuk mengunjungi tempat-tempat yang sukar ini dan membawa balik mata.

"Kami menanggung akibat daripada tuntutan fizikal Liga Juara-Juara. Kami tidak mempunyai masa untuk berehat dan menjalani pemulihan selepas perlawanan pada Rabu."