Maurizio Sarri berharap penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo, akan memenangi Ballon d'Or keenam sambil turut menjangkakan seorang lagi tonggak Juventus, Paulo Dybala, bakal menjadi salah seorang bintang terbaik dunia di masa akan datang.

Menjelang perebutan Ballon d'Or tahun ini, Ronaldo bersaing dengan seorang lagi pemenang lima kali, Lionel Messi, serta pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk, tatkala bek tengah Juve, Matthijs de Ligt, turut mencabar bagi Trofi Kepa, anugerah yang diberikan kepada pemain muda bawah 21 tahun atas persembahan cemerlang yang dipamerkan.

Selepas menyaksikan Ronaldo mengatasi masalah kecederaan lutut untuk beraksi selama 90 minit sewaktu menundukkan Atletico Madrid 1-0, Selasa lalu, Sarri berkata dia teruja dengan pemulihan yang ditunjukkan pemain berusia 34 tahun itu.

"Ronaldo beraksi cemerlang dalam aksi terakhir itu walaupun dengan sedikit ketahanan," katanya.

"Kini, dia hanya perlu meningkatkan kecemerlangannya.

"Saya harap Ronaldo akan memenangi Ballon d'Or sambil Dybala menjadi salah seorang pencabar di masa akan datang manakala de Ligt akan meraih Trofi Kepa."

Malam ini, pendahulu Serie A, Juventus, akan menentang pasukan tangga ke-14, Sassuolo, dan Sarri berkata dilema untuk dia memilih dua pemain daripada Ronaldo, Gonzalo Higuain dan Dybala bagi membarisi jentera serangan adalah sesuatu yang dialu-alukan.

Namun, bekas pengendali Napoli dan Chelsea itu memberi amaran agar pemainnya tidak cepat berpuas hati dalam usaha mengejar gelaran Serie A kali kelima berturut selepas menewaskan Atalanta 3-1 sebelum kemenangan ke atas Atletico.

"Aksi malam ini sangat bahaya," tambahnya.

"Kami melangkah ke perlawanan ini selepas tenaga mental banyak digunakan untuk menghadapi dua aksi terdahulu.

"Sebagai tambahan, Sassuolo adalah pasukan yang telah beraksi dengan baik, malah mereka memiliki seorang jurulatih yang muda dan kuat, sekali gus menerima rasa hormat daripada saya.

"Adakah saya berdepan masalah untuk memilih gandingan serangan? Jika apa-apa berlaku, lawan yang akan sakit kepala.

"Emre Can mungkin salah seorang pilihan untuk aksi malam ini. Alex Sandro telah menjalani latihan penuh bersama pasukan, semalam. Kami perlu lihat jika dia mampu beraksi selama 90 minit.

"Federico Bernardeschi juga cemerlang. Dia seorang pemain yang berguna buat pasukan berdasarkan kualiti teknikal yang dimiliki, jadi kami memintanya untuk terus menambahkan sumbangan."