SASSUOLO 3 JUVENTUS 3

Pengurus Juventus, Maurizio Sarri, meratapi keputusan mendebarkan pasukannya ketika terikat 3-3 di Sassuolo dan prestasi tidak tekal pendahulu Serie A itu meletakkannya dalam "kebingungan".


Juve mensia-siakan pendahuluan 2-0 ketika menentang lawan, yang dalam prestasi terbaik itu, dalam usaha mereka untuk mengesahkan gelaran Scudetto buat kali kesembilan berturut-turut awal pagi tadi.

Juara bertahan itu -- yang turut melepaskan kelebihan 2-0 ketika tewas 2-4 kepada Milan awal bulan ini -- sudah di depan dengan dua gol dalam tempoh 12 minit permainan menerusi sentuhan penyudah Danilo dan Gonzalo Higuain sebelum Filip Djuricic mengurangkan defisit berkenaan menuju waktu rehat.

Sepakan percuma Domenico Berardi mengembalikan keseimbangan perlawanan ketika separuh masa kedua baru berusia enam minit dan tiga minit kemudian, penyerang itu membuka ruang buat Francesco Caputo untuk meletakkan Sassuolo 3-2 di depan.

Alex Sandro memastikan satu mata buat Juve selepas sejam melewati permainan untuk mereka mengumpul 77 mata melalui 33 perlawanan, tujuh mata di depan Atalanta.






"Seorang pengurus mengharapkan ketekunan daripada pasukannya, ini adalah kekurangan kami yang membabitkan fizikal dan mental. Kami mempunyai beberapa detik yang sangat ampuh dalam perlawanan ini dan beberapa detik pasif yang sukar difahami," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Baru-baru ini kami telah menentang pasukan dalam bentuk yang luar biasa dan Sassuolo tiada bezanya kerana mereka menang empat perlawanan berturut-turut dan jika mereka berterusan begitu, mereka akan bertukar menjadi sebuah pasukan seperti Atalanta.

"Saya percaya jika kami menyelesaikan masalah ketekalan sepanjang permainan, maka kami akan berada di landasan yang tepat. Mana-mana pasukan sekalipun boleh menjadi berbahaya jika dibiarkan menguasai kubu kami.

"Kami bergelut kerana mereka beraksi di antara garisan itu dengan pendekatan 'trequartista' dan kami kerap kehilangan bola. Ia sesuatu yang pelik memandangkan dalam separuh masa pertahanan, pertahanan kami bermain seperti biasa tetapi kemudian mula bergerak lebih ke depan dan cuba merampas bola dengan lebih awal di hujung perlawanan.

"Ini bukan satu pendekatan yang tidak berhasil kerana ia berfungsi dengan baik sejak dari mula lagi. Adakala saya berasakan pasukan ini mempunyai potensi yang sangat besar tetapi ada masanya ia membuat anda bingung kerana lawan boleh memasuki kotak penalti kami dengan begitu mudah. Kami perlu mencari keseimbangan yang tepat dan ia bukan mudah.

"Kami harus mengekalkan bola dengan lebih lama kerana kadang-kadang penguasaan bola boleh membantu anda mengawal tempo dan kekal di kawasan lawan. Ada masanya kami seperti terlalu terburu-buru dalam usaha untuk meledak gol denga beberapa hantaran sahaja. Ia membuatkan pemain dalam situasi di mana mereka perlu banyak berlari."

Juve akan menyambut kunjungan pasukan di tangga ketiga, Lazio, di Turin Selasa depan.