LAZIO 3 JUVENTUS 1

Juan Cuadrado tidak sepatutnya dibuang padang ketika Juventus tumbang 1-3 kepada Lazio dalam perlawanan Serie A, awal pagi tadi, kata Maurizio Sarri.


Pengurus Bianconeri berkenaan menyaksikan pasukannya itu tewas buat kali pertama sejak ketibaannya walaupun gol Cristiano Ronaldo meletakkan juara bertahan tersebut di depan dalam pertembungan di Stadio Olimpico itu.

Luiz Felipe menanduk masuk gol penyamaan buat Lazio yang menjadi titik tolak kepada perlawanan itu apabila Cuadrado diarah supaya meninggalkan padang kerana menjatuhkan Manuel Lazzari yang sedang meluru ke gawang.

Pengadil, Michael Fabbri, pada mulanya memilih untuk memberi amaran pertama kepada Cuadrado tetapi kemudian mengubah kad kuning itu kepada merah setelah menilainya menerusi monitor di tepi padang, lalu Lazio memanfaatkan kelebihan yang dimiliki.

Sergej Milinkovic-Savic kemudian meledak gol hasil hantaran cantik Luis Alberto sementara gol Felipe Caicedo pada masa kecederaan memastikan kemenangan pertama Lazio ke atas Juve dalam saingan liga sejak 2003.

"Kami tidak menghormati tugas kami kerana pemain berada di kedudukan yang salah," kata Sarri kepada DAZN mengenai kejadian yang mengundang kepada kad merah Cuadrado itu. "Ia adalah satu gangguan dan kami terpaksa membayar harga yang mahal untuk itu.

"Sebelum perlawanan, kami telah memutuskan kedudukan tertentu dalam permainan dan kami tidak menutup ruangnya.

"Saya tidak bersetuju sepenuhnya bahawa ia adalah peluang jaringan yang terbuka kerana bola itu meliar. Saya fikir kad kuning adalah keputusan yang tepat tetapi hakikatnya, ia tetap di luar kawalan kami dan kami membuat kesilapan sehingga mewujudkan situasi berkenaan. "

Sarri, yang mendedahkan Rodrigo Bentancur memerlukan ujian untuk menentukan tahap kecederaan ligamennya, berasakan ada peningkatan positif daripada prestasi Juve itu di sebalik dua perlawanan yang berkesudahan tanpa kemenangan.

"Dalam babak kedua, apabila perlawanan itu kelihatan dalam keadaan yang lebih seimbang, kad merah mengubah segala-galanya," katanya. "Kami kalah dalam perlawanan ini tetapi secara jujurnya saya melihat peningkatan dalam pasukan saya."

Lazio telah memenangi tujuh perlawanan Serie A berturut-turut dan hanya lima mata di belakang pendahulu, Inter, sehingga dianggap berpotensi untuk memburu gelaran tersebut.

Kali terakhir mereka memenangi liga adalah 20 tahun lalu dan pengurusnya, Simone Inzaghi, berasakan kedudukan teratas mungkin sasaran realistik buat pasukannya yang memperagakan prestasi mengagumkan.

"Kami berada dalam tempoh yang hebat," katanya kepada DAZN. "Kami perlu bercita-cita tinggi. Kami sedar bahawa enam minggu yang lalu, orang berkata kami gagal meraih keputusan yang memberangsangkan tetapi saya tetap tenang.

"Kelab ini selalu dekat di hati saya. Walaupun ketika kami kalah, mereka meyakinkan saya bahawa tiada masalah yang berlaku.

"Saya juga mempunyai skuad yang sentiasa memberi kerjasama kepada kakitangan saya dan saya sendiri. Saya sedang menikmati kemenangan ini yang menyaksikan kami gagal melakukannya dalam tempoh 16 tahun. Saya masih ingat perlawanan itu kerana saya berada di bangku simpanan ketika itu.

"Kami akan menikmatinya selama beberapa jam tetapi pada Khamis depan, kami harus kembali ke landasan yang tepat dan berhasrat untuk kekal dalam saingan Liga Europa. Kami bermain dengan baik, mencipta banyak peluang dan dapat mencetak lebih banyak gol, jadi saya memuji barisan pemain atas prestasi yang luar biasa."