Sarri anggap Juventus tewas dengan cara yang betul 

Oleh Shaiful Shamsudin 26 Julai 2020 390
 Sarri anggap Juventus tewas dengan cara yang betul 
Biarpun prestasi Juventus agak goyah dalam mengesahkan gelaran Serie A, tetapi Maurizio Sarri tertarik dengan mentaliti anak buahnya ketika keciciran mata berbanding situasi sebelum ini. 

Bianconeri akan dinobatkan juara Scudetto buat kali kesembilan berturut-turut jika menewaskan Sampdoria malam ini selepas gagal mengambil kesempatan serupa ketika menentang Udinese pada pertengahan minggu ini. 

Kekalahan lewat permainan itu bermakna Juve hanya menang sekali daripada lima perlawanan terakhir mereka, termasuk kekalahan kepada Milan selain seri dengan Atalanta dan Sassuolo.

Namun, bekas pengurus Chelsea itu mengakui anak buahnya telah melakukan kesilapan dalam beberapa minggu terakhir kerana dipengaruhi corak serangan mereka -- di sebalik kelesuan akibat kepadatan jadual perlawanan.

Kekalahan sebelum ini sempat menyaksikan pengurus itu mengkritik pendekatan pasif barisan pemainnya, tetapi sekarang tidak.

"Aspek fizikal adalah sama buat semua orang," katanya dalam sidang akhbar sebelum perlawanan. 

"Gejala keletihan fizikal dan mental juga dihadapi semua pasukan.

"Kosongkan minda anda dan kemudian segera bersiap sedia untuk perlawanan berikutnya dalam tempoh beberapa hari lagi bukannyalah boleh dilakukan serta merta dan mudah. 

"Kami tidak tersusun tetapi ini juga merupakan satu petanda positif. Kami menjadi tidak tersusun atas kemahuan kami untuk acap melancarkan serangan walaupun tiada ruang. 

"Inilah kesilapan kami sehingga mempunyai jurang penjarakan pemain. Tetapi ia tidak seperti masa-masa yang lalu ketika kami mengalami kesukaran atas aksi pasif ini, kali ini kami telah bertindak terlalu jauh.

 
"Saya menggemarinya -- bukan disebabkan tidak tersusun sebaliknya mengenai mentalitinya. Kesalahan seperti itu lebih mudah dikaitkan sebagai normal berbanding kesilapan lain."

Sarri mendesak pasukannya agar terus "beraksi dengan daya saing" ketika menghadapi Sampdoria sambil menambah tiada kekhuatiran terhadap tumpuan Juve yang mungkin sudah terarah kepada pertemuan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) bertemu Lyon.

Malah, pengurus itu mendakwa jadual padat perlawanan domestik telah menghalangnya daripada membuat perancangan bagi menghadapi saingan Eropah. 

"Kami tidak melakukan persiapan kerana kami perlu beraksi dalam setiap 72 jam jadi adalah mustahil untuk melakukan sebarang persiapan," jelasnya.

"Saya rasa persiapan kami untuk perlawanan esok ialah sesi sepanjang 30 hingga 40 minit pagi esok memandang hari ini ada beberapa pemain yang memerlukan program pemulihan selama beberapa jam.

"Ketika ini, tiada pemain yang bekerja secara fizikal kecuali pemain yang tersisih selama beberapa hari dan perlu melalui program khas.

"Saya tidak memikirkan soal UCL dan saya belum mahu memikirkannya. Ia adalah kejohanan yang menarik tetapi sesebuah pasukan itu menilai dirinya dalam liga. Ini adalah kejohanan yang menjadi penanda aras kerana ia berlangsung selama 10 bulan, tahun ini selama 12 bulan.

"Ada dua minggu lagi untuk menghadapi UCL jadi kami akan mempunyai tujuh atau lapan hari ini untuk memberi tumpuan eksklusif kepada liga."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen