"Saya akan menyapa Higuain sepertimana seorang ayah yang marah kepada anaknya," kata ketua jurulatih Napoli, Maurizio Sarri, berkenaan dengan Gonzalo Higuain menjelang aksi Serie A hujung minggu ini di Turin.

Penyerang Argentina itu berhijrah ke Juventus pada bulan Julai tahun ini selepas menghabiskan tiga musim di Naples dan menyumbang 71 gol dalam Serie A.

Higuain mempunyai hubungan yang baik dengan penyokong Napoli sebelum segala-galanya berubah apabila dia menyertai Juventus.

Bagaimanapun, Sarri tidak menunjukkan sebarang sikap negatif apabila diajukan soalan mengenai bekas pemainnya itu.

"Higuain sangat rajin ketika sesi latihan dan telah melakukan tugas dengan baik bersama saya," katanya kepada Sky Italia.

"Bagaimana saya akan menyapanya pada Sabtu? Cara sama sepertimana dilakukan seorang ayah yang marah terhadap anaknya."

Namun, bekas rakan sepasukan di Napoli, Dries Mertens, menegaskan persahabatan tidak membawa sebarang makna di atas padang.

"Persahabatan tidak wujud di atas padang," katanya kepada Mediaset Premium. "Perlawanan ini sangat penting, saya tidak akan teragak-agak untuk melempang dia."